Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang pada paras rupa, harta kekayaan, darjat keturunan atau pangkat dan kedudukan. Yang membezakan dan mendekatkan seseorang hamba itu denganNya adalah iman dan takwa.
![]() |
Our Family Tree |
Ini diterangkan dalam satu hadith Baginda SAW
sewaktu khutbah Haji Wada’ yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا
النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَأَنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ
عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ
وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى
“Wahai umat manusia!
Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu (Nabi Adam
a.s); dan tiada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam atau orang ‘ajam ke
atas Arab, atau orang kulit hitam ke atas yang berkulit merah atau sebaliknya,
kecuali menurut nilaian taqwa.” (Lihat Tafsir At-Tahrir wa at-Tanwir, 26/261. Hadith riwayat Ahmad :
22978)
Walaupun luarannya kita berbeza, namun alaminya
kita adalah sama. Punya rasa, punya cita dan keinginan yang tersendiri. Disitulah
letaknya warna warni pelangi kehidupan yang memberi hikmah dan pengajaran. Perbezaan
kita adalah untuk saling melengkapkan bukan memisahkan. Ianya adalah manifestasi
kebijaksanaan dan kekuasaan Sang Pencipta yang Maha Kaya. Segala puji dan
syukur untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam.
Samada kita melayu, cina, india atau sebagainya
kita adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan. Dengan redha, rahmat dan
kasih sayang Allah lah yang membuat kita berdiri dan bernafas setiap hari. Janganlah
kita lupa dan merasa sombong dengan segala nikmat yang dikurniakan sehingga
kita merasa kita lebih daripada orang lain.
Tujuan salahsilah keturunan ini dibuat adalah untuk
tatapan anak cucuku, sambil-sambil mencari waris saudara yang mungkin berasal
dari susur galur keturunan yang sama. Manalah tau, rupa-rupanya kenalan yang
selama ini jarang bertegur sapa adalah berasal dari moyang yang sama. Bukankah itu,
sekurang-kurangnya akan mendekatkan tali persaudaraan antara kita?
Harapanku, semoga usaha ku ini berjaya mencapai
matlamatnya dan memberi kesedaran kepada anak-anakku supaya tidak merasa taksub
dengan sesuatu bangsa kerana kita semua adalah bersaudara walau apapun warna
kulit dan bahasa yang dipertuturkan. Darah kita tetap merah dan virus Corona
tetap menyerang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman kita.
Tidak salah untuk berbeza dan tidak salah juga
untuk menjadi sama. Yang penting hikmah dari perbezaan dan persamaan yang wujud.
Dengan hikmah tersebutlah kita kekal bersatu, hormat menghormati, bertoleransi,
memahami dan saling kasih mengasihani.
Ini sesuai dengan Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ
وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ
عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang
lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
(Surah al-Hujuraat: 13)
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment