Sunday, 7 June 2020

HIKMAH TUKANG KASUT - BIAR PEKAK TELINGA JANGAN PEKAK HATI

“Pakcik, pakcik memang asal sini ka?”

Senyap...krik…krik…

“Ehem, pakcik memang asal sini ka???”

Kali ini kuatkan lagi suara ku dengan harapan pakcik tersebut akan membalas pertanyaanku. Namun hampa, pakcik tersebut masih lagi tekun menjahit tapak kasutku tanpa sedikit perubahan pada riak wajahnya.

“Dah lama ka pakcik menjahit kasut ni?”


Sengaja aku menukar pertanyaanku kerana mungkin pertanyaanku yang pertama tadi agak sensitif. Aku memberinya sedikit masa untuk membalas kerana dia kelihatan seperti sedang fokus dengan kerjanya. Beberapa minit berlalu pakcik tersebut masih lagi tekun menjahit. Tangannya sesekali terketar-ketar menusuk jarum ke dalam tapak kasut. Sah, memang sah. Pakcik ni ada masalah pendengaran.

Aku mencuit bahunya, apabila dia menoleh memandangku, aku memberitahunya, “Pakcik, saya pergi minum dulu ya…nanti saya datang balik.” Dia tersenyum sambil mengangguk-angguk kepalanya. Aku juga tersenyum, ternyata dia sedang memerhati gerak bibirku. Dengan pergerakan bibir itulah dia memahami percakapanku.

Niatku ku untuk berbual-bual dengannya terpaksa aku batalkan. Teringin juga aku untuk mengetahui cerita-cerita kehidupan disebalik kasut, jarum, benang, gam dan kaki lima bandar Sandakan. Cerita kehidupan dari sudut pandang dan persekitaran beliau. Kerana aku percaya, setiap dari kita pasti mempunyai cerita yang unik dan tersendiri, yang boleh memberi pengajaran dan hikmah. Perkongsian sebeginilah yang aku harapkan, kerana melaluinya aku dapat melihat kebesaran dan kebijaksanaan Sang Pencipta. Tidak pernah ada  satu perkara pun yang berlalu dengan sia-sia.

Sambil menghirup nescafe tarik di kedai yang berhampiran aku merenung kembali apa yang berlaku. Ternyata walau seketika dan bukanlah sesuatu yang luarbiasa, namun ada hikmah dan pengajaran yang juga boleh dihirup. Hampir sahaja aku membuat andaian bahawa pakcik tukang kasut tersebut sombong atau tidak memahami slanga yang aku gunakan, namun ternyata andaian aku bersifat luaran dan dalam keadaan tergesa-gesa. Dengan sedikit kesabaran serta perasaan untuk mendalami dan memahami sesuatu perkara, baharulah aku mendapat gambaran yang sebenar. Ternyata pakcik tukang kasut tersebut seorang yang baik, mesra dan tekun dengan kerjanya cuma ada sedikit masalah pendengaran.

Begitulah kehidupan kita, tidak semua perkara itu adalah seperti yang kita fikirkan pada permulaannya. Dengan sedikit kesabaran, keinginan untuk mengenali, mendalami dan memahami sesuatu perkara itu, inshaAllah kita akan menemui kebenaran. Yang penting sentiasa bersikap positif, terbuka, husnudzon dan berlapang dada. Jangan cepat membuat kesimpulan atau tanggapan hanya dengan pandangan luaran dan sekilas pandang. Banyak perkara di luar sana yang disalah erti kesan daripada sikap yang melulu dalam membuat penilaian. Fahami dahulu letak duduknya sesuatu perkara sebelum kita membuat kesimpulan dan menyebarkannya kepada orang lain.

Alhamdulillah, syukur kerana secara tak langsung, aku dapat sesuatu yang berharga daripada pakcik tukang kasut. Benarlah, setiap perkara yang berlaku akan datang bersamanya ilmu dan hikmah. Tinggal lagi usaha kita untuk mencerapnya agar ia tidak berlalu dengan sia-sia. Hati kecilku berbisik, “seperti mana aku menghirup air nescafe ini untuk kesegaran tubuhku , seperti itulah juga aku perlu menghirup hikmah dan ibrah yang ada untuk kesegaran rohaniku. Terima kasih pakcik, hadirmu dalam hidupku memberi banyak hikmah, memberi kesedaran dan keinsafan supaya aku tidak menjadi orang yang terburu-buru dalam menilai sesuatu.”

CERITA YANG BIASA, TAPI PENGAJARAN YANG LUARBIASA!


No comments:

Post a Comment