Wednesday, 3 June 2020

PESAN SEORANG SAHABAT

Alhamdulillah, beberapa hari sebelum ini,aku sempat bertemu dengan seorang brother di Masjid Likas, Kota Kinabalu. Kami solat asar bersama, memandangkan trafik yg masih padat, kami mengambil keputusan utk menunggu solat maghrib. Di kesempatan itulah, brother itu tadi berkongsi sedikit ilmu.

Masjid Likas

Kata brother tersebut, semua unsur dunia adalah bersifat melalaikan. Justeru itulah, kita harus niatkan segala perbuatan kita untuk mendapat keredhaan Allah agar kita sentiasa di landasan yang betul dan tidak lalai dengan dunia yang memperdaya. 

Sikap kecewa adalah satu tanda hati yang lalai dan sedang diperdaya. Kenapa harus kecewa sedangkan kita tahu semua yang berlaku di muka bumi ini adalah ketentuan Ilahi sejak azali lagi. Bukankah kita wajib yakin dengan Qada' dan Qadar Allah. Sebaiknya kita redha dan jangan berputus asa dengan rahmatNYA. Terus berusaha dan berdoa. Ingat, DIA sentiasa menguji kita.

Kecewa tidak harus ada dalam kamus seorang muslim. Memang benar kita adalah hamba yang lemah, yang tidak lari dari perasaan kecewa. Tetapi dengan memahami hakikat tersebut, sebenarnya kita tak perlu merasa kecewa kerana kita tahu kita sememangnya adalah hamba yg lemah dan tidak sempurna. Jadi untuk apa kecewa? Syukur, redha, usaha dan doa. Serah segalanya kepada Allah SWT, tawakal.

Zikir dan sentiasa ingat pada Allah. Bukankah dengan mengingatiNYA hati kita akan menjadi tenteram?

Brother tu kemudian berhenti sejenak dan melihat ke arah jam di dinding masjid. 5 minit lagi azan maghrib akan berkumandang. Sebelum berwuduk, beliau sempat mengingatkan aku, gadget dan teknologi adalah 2 perkara yg mudah melalaikan tapi dengan kesedaran dan iman, 2 perkara itu juga akan mendekatkan kita dgn Allah. Ingatlah, dunia dan segala isinya adalah alat semata-mata untuk kita mengumpul sebanyak pahala yang mungkin buat bekalan akhirat yang abadi. InshaAllah dengan memahami hakikat ini, hati kita tidak akan lalai dan sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan.

Pesannya:-

1. Dunia adalah alat
2. Umur adalah kudrat
3. Iman adalah nikmat, dan,
4. Sahabat yg baik adalah rahmat

Serentak dengan itu juga, azan maghrib berkumandang dari smartphone beliau. Manifestasi, teknologi mendekatkan seorang hamba dgn tuhannya, Allah Rabbul Alameen.

Kami akur dengan pertemuan yang singkat ini. Dalam hatiku, aku bersyukur kerana digerakkan hati untuk bersolat di masjid ini. Pertemuan yang walaupun secebis waktu tetapi memberi memberi nafas dan semangat baru. Alhamdulillah, benarlah kata beliau, sahabat yg baik adalah rahmat.

- Setiap peringatan yang terucap, terzahir, tertulis, terdengar, terbaca, terfaham dan terlintas itu adalah untuk diri sendiri sebenarnya.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment