“Mak, ayah pergi mana mak…kenapa dia tak
balik-balik lagi…” Suara kecil tu bagaikan menyiat hati Leha. Berat untuk dia
menerangkan kepada anaknya yang berusia 3 tahun itu bahawa ayahnya takkan
kembali lagi. Apalah sangat yang difahami oleh anak sekecil itu tentang
kematian. Bagi dia, ayahnya mesti kembali seperti kebiasaan yang
sebelum-sebelum ini. Kembali dengan jajan dan mainan yang dibawa untuknya. Dia
kemudian akan mencium pipi ayahnya sambil berkata, “Terima kasih ayah.” Dan
ayah pasti akan memeluk dan mendukungnya sambil dicium-cium pula kedua-dua pipi
halus dan gebu itu. Dia pasti akan ketawa kegelian kerana janggut ayahnya yang
menggesel-gesel di pipinya sehingga keluar air mata. Telatah itulah sekarang
yang dirindui oleh dia dan juga Leha.
Kini sudah 2 minggu ayah tak kembali. Perasaan
anak kecil itu menjadi rindu. Rindu pada suara, ciuman, janggut dan bau si
ayah. Dia tertanya-tanya dalam hatinya kenapa ayah sanggup meninggalkan dia dan
ibu. Bukankah ayah selalunya akan pulang. Kali ini dia tak perlukan jajan atau
mainan, cukuplah ayah yang pulang. Cukuplah ayah mendakapnya walau sekejap. Dia
faham ayah sibuk. Ayah perlu mencari duit untuk dia dan ibu. Dia berjanji dia
tidak akan lagi menyepah-nyepahkan mainannya atau membazir makanan atau
menconteng dinding. Dia akan rajin mengaji al-quran, menghafal abc dan
menghabiskan mewarna gambar-gambar haiwan dalam buku yang ayah bagi tempohari.
Yang penting ayah kembali…
Airmata Mirul berlinang di pagi raya itu. Sudah
30 tahun ayah pergi meninggalkan dia dan ibu. Sudah lama juga dia memahami kenapa ayah pergi tak
kembali. Dia menerima takdir dan ketentuan dari Ilahi. Walaupun dia dan ibu menyayangi
Ayah ternyata Allah lebih menyayangi Ayah. Ayah dijemput pulang lebih awal. Setiap
kali tiba hari raya, Mirul akan membawa anak, isteri dan ibu menziarah pusara
ayah. Itulah perkara pertama yang dilakukan setiap kali selesai solat sunat
hari raya di masjid. Pusara ayah di jaga rapi dan sentiasa bersih seperti ayah
yang sentiasa sukakan kekemasan dan kebersihan. Hanya itu yang dapat dilakukan
Mirul bagi membalas jasa Ayah dulu selain dari doa dan bacaan ayat suci
al-quran yang disedekahkan. Walaupun ayah meninggalkan dia sewaktu berusia 3
tahun, namun kasih sayang, senyum tawa Ayah tetap segar dalam ingatan.
Seolah-olah baru semalam ayah pergi meninggalkan dia dan ibu.
“Ayah, walaupun kita tidak lama bersama namun
ketahuilah, anakmu ini sentiasa merinduimu. Dengan kerinduan itulah, anakmu ini
menghadapi kehidupan seterusnya dengan semangat dan azam untuk membantu ibu
yang keseorangan. Walaupun adakalanya diejek kawan-kawan, namun ibu selalu
memberitahu bahawa Nabi Muhammad juga dibesarkan tanpa ayah. Mendengar itu aku
menjadi kuat. Ibu pula memang seorang yang tabah, dia tak pernah berputus asa mencari
nafkah untuk kami dengan menjual nasi di warung. Kuat dugaan ibu, namun apapun
yang berlaku ibu selalu berpesan yang Ayah dulu tak pernah berputus asa dan
sentiasa berusaha. Ibu kata, Ayah selalu bagitau yang Allah sentiasa bersama
kita. Minta saja pertolongan denganNya, inshaAllah semuanya akan menjadi mudah.
Kerana itulah aku selalu memohon pada Allah setiap masa”.
“Ayah, jika dulu aku sangat marah dengan Allah
kerana mengambilmu, tapi ibu selalu bagitahu bahawa Allah itu Maha Pengasih dan
Maha Penyayang, sebab itulah ayah diambil. Ibu bagitau tiada tempat yang lebih
indah dan lebih baik selain disisi Allah. Mendengar kata ibu, aku merasa
gembira kerana Ayah berada di tempat yang terindah dan terbaik. Aku bersyukur
kerana Allah mengambil ayah. Walaupun ayah tidak bersama kami, tapi aku tahu Allah
sentiasa bersama kita semua.”
“Ayah, membesar tanpamu menjadikan aku lebih
berdikari dan bercita-cita tinggi untuk membantu ibu yang penat lelah berjual
di warung. Saat kawan-kawan lain bercuti bersama ayah dan ibu mereka di kawasan
peranginan, aku senang sekali dapat membantu ibu berjual di warung. Sesekali
aku akan mengelilingi kampung menjaja kuih-muih buatan ibu. Orang kampung cakap
kuih ibu sedap tapi bagi aku semua masakan ibu sedap. Walaupun hanya telur goreng,
aku merasa amat berselera dan puas. Cikgu matematik di sekolah cakap aku
pintar. Mungkin kerana selalu berjualan, aku menjadi minat dan cekap dengan
ilmu kira-kira. Saat pelajar lain sedang bertungkus lumus menyelesaikan soalan
aku dengan pantas dapat memberikan jawapan. Sehinggakan aku muncul juara kuiz
matematik peringkat kebangsaan 3 tahun berturut-turut. Ayah, walaupun kau
tiada, namamu sering diumumkan sebagai juara. Amirul Hakim bin Abdul Aziz. Orang-orang
kampung banyak yang berkata, bertuah anak arwah si Aziz. Walaupun bukan namaku yang
disebut tapi aku merasa amat bangga kerana nama ayah tetap hidup.”
“Ayah, mungkin kerana sering membantu ibu
berjualan, menjadikan aku lebih minat dan cenderung untuk meniaga. Semasa di universiti
saat teman-teman kampusku menelefon ayah mereka untuk memasukkan duit belanja,
aku pula menelefon ibu untuk mengirimnya wang belanja. Ibu enggan menerima wang
tersebut tapi tetap aku kirimkan. Aku tahu ibu amat risaukan aku, tapi wang
hasil jualan mee segera di kampus, t-shirt, perkhidmatan bas untuk pulang ke
kampung dan perkhidmatan kereta sewa sudah dapat menampung semuanya.
Teman-temanku memanggilku Tokan, nama timangan di kampus. Namun Ayah jangan
berkecil hati, nama Amirul Hakim bin Abdul Aziz tetap dikenali di kalangan
pensyarah apatah lagi saat aku menerima Anugerah Dekan. Alhamdulillah…”
“Ayah, kini diusiaku yang ke 33, banyak sudah pahit
manis yang kulalui dalam kehidupan. Bukan senang membesar tanpamu di sisi tapi
ibu banyak membantu. Pengorbanannya amat besar dan aku tahu kalau Ayah masih
hidup ayah juga akan lakukan perkara yang sama. Ibu cakap dia kuat kerana dulu
Ayah banyak memberinya nasihat dan kata-kata semangat. Dengan warisan ilmu dan
semangat ayah itulah yang banyak memberinya kekuatan dalam membesar aku. Ibu
cakap aku pun mewarisi semangat yang sama. Semangat itulah yang mengalir dalam
darah dan jiwaku sehingga menjadikan aku seperti sekarang. Ayah, aku kini telah
berkahwin dengan wanita pilihanku. Dia adalah gadis berbangsa Inggeris yang aku
kenali sewaktu melanjutkan pelajaran di University of Cambridge di United
Kingdom dahulu. Ayahnya juga telah pergi meninggalkan dia sewaktu kecil. Kami memiliki
banyak kesamaan lebih-lebih lagi dalam perjalanan hidup yang telah kami lalui.
Ibu pada mulanya agak keberatan namun apabila dia memberitahu yang dia mau
belajar mengaji dengan ibu, hati ibu menjadi lembut. Alhamdulillah kini dia
amat serasi dan rapat dengan ibu. Nama Islamnya Sophia tapi Ibu memanggilnya
Mek…lebih kemelayuan ibu cakap.”
“Ayah, aku kini sedang mengusahakan Yayasan
Anak Yatim. Keputusan itu dibuat kami berdua bagi membela nasib anak-anak yatim
dan anak-anak gelandangan yang terbiar. Yayasan itu kami namakan bersempena nama
anak lelaki kami, cucu Ayah. Kami namakannya Abdul Aziz Childcare Foundation.
Iya, kami namakan cucu ayah itu dengan nama Ayah. Harapan kami semoga legasi
ayah dapat diteruskan. Walaupun ayah hadir sebentar sahaja dalam hidupku, namun
percayalah semangat dan legasi ayah tetap mengalir dalam darah dan jiwa kami.
Nama ayah tetap akan aku junjung dan harumkan. InshaAllah.”
* Untuk
ayahanda dan bonda tercinta, Hj Abd Rahman bin Hj KS Mohammad, Hjh Ruhana binti
Mohamad dan anak-anakku, Edzzhar Edham, Einnurniesa Umaera, Emirul Fardlee,
Eurliena Maesara dan Eisha Umayya.