Monday, 8 June 2020

STREET TAILOR – THE UNSUNG HEROES

Antara keunikan Lahad Datu ialah barisan Tukang Jahit yang sentiasa menunggu pelanggan di kaki-kaki lima kedai. Kebanyakan mereka adalah tukang jahit yang berpengalaman yang sudah lama berbakti kepada warga Lahad Datu dengan upah bayaran yang berpatutan tanpa sedikitpun menjejaskan kualiti perhidmatan. Malah ada di antara mereka yang boleh dikatakan bertaraf professional.


Barisan Tukang Jahit Jalanan di Bandar Lahad Datu
Dengan berbekalkan mesin jahit, kelengkapan asas, kemahiran dan senyuman mesra, mereka menunggu pelanggan-pelanggan yang memerlukan perkhidmatan dengan sabar. Antara perkidmatan yang ditawarkan ialah memotong kaki seluar, menampal koyakan, mengganti zip, mengubahsuai saiz pakaian dan macam-macam lagi. Ada juga yang mengambil upah membuat topeng muka di musim PKP ini. Semuanya dengan upah yang amat berpatutan. Kalau nak bayar lebih pun boleh, niat untuk sedekah atau sebagai hadiah.

Mereka inilah sebenarnya antara ‘The Unsung Heroes’ atau Wira Yang Tak Didendang di bandar Lahad Datu. Dari generasi ke generasi banyak sudah bakti yang mereka curahkan. Saya percaya, hampir semua warga LD pernah menggunakan khidmat mereka walaupun sedikit. Merekalah unit sokongan teknikal yang tidak rasmi. Satu hakikat yang mungkin ramai tidak menyedari.

Mungkin suatu hari nanti pihak berkuasa tempatan boleh menyediakan tempat khusus untuk mereka menjalankan aktiviti perniagaan mereka dengan selamat, teratur dan sistematik sebagai kemudahan untuk semua dan juga sebagai kaedah pemantauan yang berkesan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Apa-apapun jasa mereka tetap dihargai. Merekalah antara ikon bandar Lahad Datu dan boleh dijadikan tarikan kepada orang-orang luar yang datang berkunjung di samping menyediakan perkhidmatan yang berpatutan untuk semua. Bagi aku,

‘STREET TAILORING IS LIKE AN ART THAT PUT COLOURS NOT TO A PLACE BUT INTO THE HEARTS OF ITS PEOPLE.’

Tabik untuk mereka!


Penulis dengan salah seorang Tukang Jahit Jalanan


Sunday, 7 June 2020

HIKMAH TUKANG KASUT - BIAR PEKAK TELINGA JANGAN PEKAK HATI

“Pakcik, pakcik memang asal sini ka?”

Senyap...krik…krik…

“Ehem, pakcik memang asal sini ka???”

Kali ini kuatkan lagi suara ku dengan harapan pakcik tersebut akan membalas pertanyaanku. Namun hampa, pakcik tersebut masih lagi tekun menjahit tapak kasutku tanpa sedikit perubahan pada riak wajahnya.

“Dah lama ka pakcik menjahit kasut ni?”


Sengaja aku menukar pertanyaanku kerana mungkin pertanyaanku yang pertama tadi agak sensitif. Aku memberinya sedikit masa untuk membalas kerana dia kelihatan seperti sedang fokus dengan kerjanya. Beberapa minit berlalu pakcik tersebut masih lagi tekun menjahit. Tangannya sesekali terketar-ketar menusuk jarum ke dalam tapak kasut. Sah, memang sah. Pakcik ni ada masalah pendengaran.

Aku mencuit bahunya, apabila dia menoleh memandangku, aku memberitahunya, “Pakcik, saya pergi minum dulu ya…nanti saya datang balik.” Dia tersenyum sambil mengangguk-angguk kepalanya. Aku juga tersenyum, ternyata dia sedang memerhati gerak bibirku. Dengan pergerakan bibir itulah dia memahami percakapanku.

Niatku ku untuk berbual-bual dengannya terpaksa aku batalkan. Teringin juga aku untuk mengetahui cerita-cerita kehidupan disebalik kasut, jarum, benang, gam dan kaki lima bandar Sandakan. Cerita kehidupan dari sudut pandang dan persekitaran beliau. Kerana aku percaya, setiap dari kita pasti mempunyai cerita yang unik dan tersendiri, yang boleh memberi pengajaran dan hikmah. Perkongsian sebeginilah yang aku harapkan, kerana melaluinya aku dapat melihat kebesaran dan kebijaksanaan Sang Pencipta. Tidak pernah ada  satu perkara pun yang berlalu dengan sia-sia.

Sambil menghirup nescafe tarik di kedai yang berhampiran aku merenung kembali apa yang berlaku. Ternyata walau seketika dan bukanlah sesuatu yang luarbiasa, namun ada hikmah dan pengajaran yang juga boleh dihirup. Hampir sahaja aku membuat andaian bahawa pakcik tukang kasut tersebut sombong atau tidak memahami slanga yang aku gunakan, namun ternyata andaian aku bersifat luaran dan dalam keadaan tergesa-gesa. Dengan sedikit kesabaran serta perasaan untuk mendalami dan memahami sesuatu perkara, baharulah aku mendapat gambaran yang sebenar. Ternyata pakcik tukang kasut tersebut seorang yang baik, mesra dan tekun dengan kerjanya cuma ada sedikit masalah pendengaran.

Begitulah kehidupan kita, tidak semua perkara itu adalah seperti yang kita fikirkan pada permulaannya. Dengan sedikit kesabaran, keinginan untuk mengenali, mendalami dan memahami sesuatu perkara itu, inshaAllah kita akan menemui kebenaran. Yang penting sentiasa bersikap positif, terbuka, husnudzon dan berlapang dada. Jangan cepat membuat kesimpulan atau tanggapan hanya dengan pandangan luaran dan sekilas pandang. Banyak perkara di luar sana yang disalah erti kesan daripada sikap yang melulu dalam membuat penilaian. Fahami dahulu letak duduknya sesuatu perkara sebelum kita membuat kesimpulan dan menyebarkannya kepada orang lain.

Alhamdulillah, syukur kerana secara tak langsung, aku dapat sesuatu yang berharga daripada pakcik tukang kasut. Benarlah, setiap perkara yang berlaku akan datang bersamanya ilmu dan hikmah. Tinggal lagi usaha kita untuk mencerapnya agar ia tidak berlalu dengan sia-sia. Hati kecilku berbisik, “seperti mana aku menghirup air nescafe ini untuk kesegaran tubuhku , seperti itulah juga aku perlu menghirup hikmah dan ibrah yang ada untuk kesegaran rohaniku. Terima kasih pakcik, hadirmu dalam hidupku memberi banyak hikmah, memberi kesedaran dan keinsafan supaya aku tidak menjadi orang yang terburu-buru dalam menilai sesuatu.”

CERITA YANG BIASA, TAPI PENGAJARAN YANG LUARBIASA!


Saturday, 6 June 2020

SPAIN, ARAB, INDIA, CHINA, SIAM, PHILIPPINES, INDONESIA AND MALAYSIA CONNECTION - LOVE UNITES US ALL


Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang pada paras rupa, harta kekayaan, darjat keturunan atau pangkat dan kedudukan. Yang membezakan dan mendekatkan seseorang hamba itu denganNya adalah iman dan takwa.

Our Family Tree

Ini diterangkan dalam satu hadith Baginda SAW sewaktu khutbah Haji Wada’ yang berbunyi:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَأَنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

“Wahai umat manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu (Nabi Adam a.s); dan tiada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam atau orang ‘ajam ke atas Arab, atau orang kulit hitam ke atas yang berkulit merah atau sebaliknya, kecuali menurut nilaian taqwa.” (Lihat Tafsir At-Tahrir wa at-Tanwir, 26/261. Hadith riwayat Ahmad : 22978)

Walaupun luarannya kita berbeza, namun alaminya kita adalah sama. Punya rasa, punya cita dan keinginan yang tersendiri. Disitulah letaknya warna warni pelangi kehidupan yang memberi hikmah dan pengajaran. Perbezaan kita adalah untuk saling melengkapkan bukan memisahkan. Ianya adalah manifestasi kebijaksanaan dan kekuasaan Sang Pencipta yang Maha Kaya. Segala puji dan syukur untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam.

Samada kita melayu, cina, india atau sebagainya kita adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan. Dengan redha, rahmat dan kasih sayang Allah lah yang membuat kita berdiri dan bernafas setiap hari. Janganlah kita lupa dan merasa sombong dengan segala nikmat yang dikurniakan sehingga kita merasa kita lebih daripada orang lain.

Tujuan salahsilah keturunan ini dibuat adalah untuk tatapan anak cucuku, sambil-sambil mencari waris saudara yang mungkin berasal dari susur galur keturunan yang sama. Manalah tau, rupa-rupanya kenalan yang selama ini jarang bertegur sapa adalah berasal dari moyang yang sama. Bukankah itu, sekurang-kurangnya akan mendekatkan tali persaudaraan antara kita?

Harapanku, semoga usaha ku ini berjaya mencapai matlamatnya dan memberi kesedaran kepada anak-anakku supaya tidak merasa taksub dengan sesuatu bangsa kerana kita semua adalah bersaudara walau apapun warna kulit dan bahasa yang dipertuturkan. Darah kita tetap merah dan virus Corona tetap menyerang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman kita.

Tidak salah untuk berbeza dan tidak salah juga untuk menjadi sama. Yang penting hikmah dari perbezaan dan persamaan yang wujud. Dengan hikmah tersebutlah kita kekal bersatu, hormat menghormati, bertoleransi, memahami dan saling kasih mengasihani.

Ini sesuai dengan Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

(Surah al-Hujuraat: 13)

Wallahua’lam

Wednesday, 3 June 2020

PESAN SEORANG SAHABAT

Alhamdulillah, beberapa hari sebelum ini,aku sempat bertemu dengan seorang brother di Masjid Likas, Kota Kinabalu. Kami solat asar bersama, memandangkan trafik yg masih padat, kami mengambil keputusan utk menunggu solat maghrib. Di kesempatan itulah, brother itu tadi berkongsi sedikit ilmu.

Masjid Likas

Kata brother tersebut, semua unsur dunia adalah bersifat melalaikan. Justeru itulah, kita harus niatkan segala perbuatan kita untuk mendapat keredhaan Allah agar kita sentiasa di landasan yang betul dan tidak lalai dengan dunia yang memperdaya. 

Sikap kecewa adalah satu tanda hati yang lalai dan sedang diperdaya. Kenapa harus kecewa sedangkan kita tahu semua yang berlaku di muka bumi ini adalah ketentuan Ilahi sejak azali lagi. Bukankah kita wajib yakin dengan Qada' dan Qadar Allah. Sebaiknya kita redha dan jangan berputus asa dengan rahmatNYA. Terus berusaha dan berdoa. Ingat, DIA sentiasa menguji kita.

Kecewa tidak harus ada dalam kamus seorang muslim. Memang benar kita adalah hamba yang lemah, yang tidak lari dari perasaan kecewa. Tetapi dengan memahami hakikat tersebut, sebenarnya kita tak perlu merasa kecewa kerana kita tahu kita sememangnya adalah hamba yg lemah dan tidak sempurna. Jadi untuk apa kecewa? Syukur, redha, usaha dan doa. Serah segalanya kepada Allah SWT, tawakal.

Zikir dan sentiasa ingat pada Allah. Bukankah dengan mengingatiNYA hati kita akan menjadi tenteram?

Brother tu kemudian berhenti sejenak dan melihat ke arah jam di dinding masjid. 5 minit lagi azan maghrib akan berkumandang. Sebelum berwuduk, beliau sempat mengingatkan aku, gadget dan teknologi adalah 2 perkara yg mudah melalaikan tapi dengan kesedaran dan iman, 2 perkara itu juga akan mendekatkan kita dgn Allah. Ingatlah, dunia dan segala isinya adalah alat semata-mata untuk kita mengumpul sebanyak pahala yang mungkin buat bekalan akhirat yang abadi. InshaAllah dengan memahami hakikat ini, hati kita tidak akan lalai dan sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan.

Pesannya:-

1. Dunia adalah alat
2. Umur adalah kudrat
3. Iman adalah nikmat, dan,
4. Sahabat yg baik adalah rahmat

Serentak dengan itu juga, azan maghrib berkumandang dari smartphone beliau. Manifestasi, teknologi mendekatkan seorang hamba dgn tuhannya, Allah Rabbul Alameen.

Kami akur dengan pertemuan yang singkat ini. Dalam hatiku, aku bersyukur kerana digerakkan hati untuk bersolat di masjid ini. Pertemuan yang walaupun secebis waktu tetapi memberi memberi nafas dan semangat baru. Alhamdulillah, benarlah kata beliau, sahabat yg baik adalah rahmat.

- Setiap peringatan yang terucap, terzahir, tertulis, terdengar, terbaca, terfaham dan terlintas itu adalah untuk diri sendiri sebenarnya.

Wallahua'lam

OPS JUMBO LADANG RAKYAT LIMAU KASTURI


Teringat sewaktu bertugas bersama PPLRNK di Kelantan. Pada waktu itu, salah satu ladang milik PPLRNK, Ladang Rakyat Limau Kasturi sering menjadi mangsa serangan Tok Gajah. Dalam satu malam, ratusan anak sawit akan rebah menyembah bumi.

Lebih 30 ekor gajah akan bergerak sekitar Limau Kasturi, Jeram Tekoh, Bertam Ulu dan Sg. Terah. Sepanjang laluan, anak2 sawit muda sering menjadi santapan. Dan yang akan tinggal adalah cebisan pokok sawit, tapak kaki, najis sebesar penumbuk dan aroma tengit.
Apa yang menarik adalah berkenaan sifat gajah itu sendiri yg mempunyai semangat setiakawan yang tinggi, bijak, berani, daya survival yang tiada tandingan dan naluri atau deria ke enam yang mabeles. Buatlah apa sahaja, untuk menghalangnya, parit gajah, pagar elektrik atau meriam penembak bunyi, kalau mereka ingin masuk, semua itu mudah bagi mereka.
Ternyata gajah bukan untuk ditentang, tetapi mereka adalah makhluk yang perlu dihormati, dibantu dan diberi jalan keluar untuk mereka mencari kawasan yang lebih baik jauh dari gangguan manusia itu sendiri.
Banyak yang boleh dipelajari dari kisah seekor gajah. Patutlah Tok Gajah pahlawan melayu dahulu, digeruni lawan di segani kawan.

Wallahua'lam.

Saturday, 30 May 2020

DIALOG BERSAMA MUSAFIR TUA

Sudah lama aku tidak ke rumah musafir tua. Biasanya, musafir tua jarang berada di rumah tapi malam itu nasib menyebelahi aku.Hanya sekali salam, suara musafir tua kedengaran membalas doa yang aku laungkan. Aku segera bergegas naik ke rumahnya sambil menghulur pisang goreng yang ku belikan tadi. Setelah menyediakan kopi O, musafir tua duduk bersila di hadapanku sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Sudah agak lama tidak bersua, jelas raut di wajahnya makin kelihatan. 

Suasana hening seketika sambil kami menikmati goreng pisang dan menghirup kopi panas. Musafir tua tersenyum, seolah2 dapat membaca apa yang berada dalam kotak fikiranku. Tiada lain, biasanya kedatangan aku adalah untuk belajar sesuatu."Kenapa lama tak datang mesjid?" Musafir tua menjerat aku dengan pertanyaan yang aku sendiri susah menjawabnya. Aku hanya tersenyum sinis. Cuba mencari jawapan yang sesuai, namun aku buntu. Takkan aku nak jawab malas. 
"Soalan mudah pun dah tak boleh jawab....belum lagi disoal malaikat dalam kubur nanti." Sindir musafir tua sambil menghabiskan kopi di cawannya."Tak rindu ke pada mesjid? Tak rindu pada rumah Allah. Kalau rumah Allah pun jarang kita bertandang, macamana kita nak kenal Allah. Macamana kita nak dapat rahmat Allah"
"Kau datang rumah aku, aku dapat jumpa kau, berbual2 dengan kau sekaligus mendekatkan hubungan kita. Secara tak langsung kau lebih istimewa di pandangan aku berbanding dengan orang lain. Kau nampak tak?" Alamak, pedas sungguh. Aku hanya mampu ketawa kecil sambil berharap tiada lagi pertanyaan2 dari musafir tua yang membuat aku kepedasan.
"Selalu selalu la ke mesjid. Esok-esok ke situ jugak kau nak dimandikan, disolatkan" Aduhh, kena lagi. Goreng pisang rangup dah semacam liat aku rasakan. Aku kena tukar topik sebelum aku ditembak berterusan oleh musafir tua.
"Musafir tua dah daftar mengundi ke. Tak lama lagi dah nak pilihanraya dah ni?" Soalku sambil berharap topik kali ini berjaya membuatnya lupakan sementara tentang aku.
"Pilihanraya kau ingat. PilihanNya kau buat lupa2. Itulah, kau besarkan dunia melebihi akhirat. Itu je yang kau nampak, undi di dunia...undi di akhirat kau lupa nak daftar." Kali ni giliran kopi pula ku rasa kelat....Teruk aku kena malam ni. Tapi aku faham sangat dengan musafir tua, walau kata2nya pedas di telinga, menusuk di jiwa namun tujuannya mulia. Untuk menyedarkan orang-orang yang alpa macam aku ni.
"Kerja macamana?" Tanya musafir tua. Mungkin dia pun dah menyedari riak muka ku yang kelat sebentar tadi.
"Alhamdulillah, setakat ni baik. Rakan sekerja bagus, bos bagus, suasana pun positif. Ini adalah kerja yang terbaik yang pernah saya kerja berbanding sebelum-sebelum ni. Gaji pun ada lebih sikit". Jelasku dengan sedikit lega. Lega kerana musafir tua tidak lagi menghentam aku.
"Hmmm...tapi aku rasa kerja kau yang dulu lagi baik..." Balas musafir tua sambil mencapai baki terakhir goreng pisang. Aku hanya diam. Membiarkan musafir tua menikmati goreng pisang yang terakhir tersebut sambil benakku cuba memahami maksud kata-katanya sebentar tadi.
Bagai memahami, musafir tua meneruskan. "Aku rasa kerja kau dulu lagi baik. Dulu selalu jugak kau ke mesjid. Dengar orang baca kitab...Di mana kebaikan jika ianya semakin menjauhkan kita dengan Allah. Dan mana letaknya keburukan jika ianya semakin mendekatkan kita denganNya. Kau cakap tadi, gaji kau ada lebih sikit berbanding dulu. Rezeki kau tu datang dari Allah, sepatutnya kau lebih bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dengan mendekatkan lagi diri dengan Allah bukan sebaliknya" Alamak, kena lagi... Namun aku akur akan kebenaran kata2 musafir tua. Benar katanya, sejak aku dapat kerja baru ni, masa aku lebih banyak untuk dunia dan isinya. Aku semakin jauh dengan al-quran dan solat berjamaah. Sedangkan itulah dulu yang menenangkan aku.
"Kau nak air lagi tak? Kalau nak aku suruh anak aku jerang lagi kt dapur" Pertanyaan musafir tua menyedarkan aku dari lamunan. Bukan lamunan malam ni sahaja, tetapi juga lamunan2 dunia selama ini yang sifatnya indah namun sementara dan memperdaya. Hmmm...dalam diam aku bersyukur kerana digerakkan hati ke rumah musafir tua malam ini. Sudah agak lama aku sibuk dengan urusan dunia sehingga kadang2 aku lupa matlamat dunia yang sebenar. "Kita manusia ni memang cepat lupa. Itulah kelemahan kita." Getus musafir tua tiba-tiba seakan dapat membaca fikiranku. "Sebab tu la, Nabi dan Rasul diutuskan, Al-Quran diturunkan, solat difardhukan, semuanya untuk membantu kita manusia ingat padaNya. Tapi macamana nak ingat kalau itu semua kita tinggalkan. Sebab itu kita kenal dulu Allah, baru senang kita nak ingat padaNya. Awaluddin Makrifatullah, seawal-awal agama hendaklah kita mengenal Allah...kalau tidak zahir sahaja yang solat tetapi batin ingat pejabat, ingat hutang, ingat makan. Pengisian solat kosong dan sia2. Tidak tercapai maksud dan matlamat..." Jelas musafir tua sambil menghulur kopi yang dihidang oleh anaknya.
"Kau tengok kopi ni, hitam tapi manis. Manis kopi kerana gula. Kopi tu adalah luaran, gula pula adalah dalaman yang tak nampak. Tapi kerana gula kopi itu menjadi manis. Tanpa gula, kopi hanyalah minuman yang pahit dan kelat. Begitulah kita manusia, kena ada gula sebagai pengisian dalaman. Gula kita adalah iman. Barulah manis dalam kehidupan" Perlahan2 musafir tua menghirup kopi panas yang baru dihidangkan tadi. Nikmat kopi sebenar.
"Tapi musafir tua, terlampau manis pun ada mudharatnya. Nanti kena kencing manis." Gurauku sambil turut menikmati kopi panas tersebut.Musafir tua tidak ketawa. Wajahnya bersahaja sambil memandang tepat ke arahku
Alamak...
Aku menundukkan pandangan. Tak mampu rasanya bertentang mata dengan musafir tua. Risau kalau-kalau aku menyinggung hatinya.
"Betullah apa yang kau cakapkan tu. Terlalu banyak gula pun tak bagus juga. Setiap apa yang masuk mesti ada yang keluar. Gula yang ada dalam badan kita kan digunakan sebagai tenaga. Kalau tak guna, lama kelamaan gula ni akan berlebihan. Bila dah lebih hah mulalah macam-macam penyakit yang datang."
Aku menarik nafas lega. Mujur gurauanku itu tadi ada isinya. Tidak sedikitpun mengocak ketenangan riak muka musafir tua. Alhamdulillah...
"Samalah dengan iman kita. Mesti diterjemahkan dengan amal. Barulah seimbang. Barulah sihat. Sebab iman tanpa amal hanyalah pura-pura, manakala amal tanpa iman adalah sia-sia. Kau tau apa penyakit orang yang beriman ni?
Aku menggelengkan kepala. Belum sempat aku membuka mulut, musafir tua terus memberi jawapan.
"Penyakit orang beriman ni adalah riak, bongkak, sombong, takabur, sum'ah. Apalah gunanya iman di dada jika ianya sekadar mengisi riak dan ujub diri. Kalau tidak diterjemahkan melalui amal, zikir, doa dan sebagainya takut-takut kita pun jadi seperti Iblis yang terkutuk. Terperangkap dengan fitnah ilmu dan iman sehingga tidak mau tunduk kepada Nabi Adam AS dan mengingkari perintah Allah SWT. Iman sahaja tidak cukup. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 75 yg bermaksud, "Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya"
"Haa..kau faham tak ni?"
Krik...krik...krik...
“In shaa Allah faham musafir tua.” Saja aku membiarkan lama musafir tua menunggu. Bukan apa.. akalku perlu mengambil lebih masa untuk menghadam apa yang disampaikan sebentar tadi.
Takut salah faham. Nanti jadi harubiru pula. Maklumlah orang awam macam aku ilmu tidak tinggi.
“Alhamdulillah..banyak ilmu yang saya dapat malam ni. Mohon musafir tua halalkanlah segalanya. Semoga pertemuan kita malam ini menjadi titik mula dalam hidup saya untuk berubah ke arah lebih baik.” Musafir tua membetulkan silanya. Mungkin terlalu lama kami berbual sehinggakan kakinya turut memprotes. Lenguh.
“Aku tiada ilmu apa-apa untuk dikongsi. Cuma memperingatkan diri sendiri. Pada setiap kejadian yang berlaku disekeliling kita, yang bersangkut paut dengan kita ada hikmah yang ingin disampaikan supaya kita muhasabah kembali. Yang terucap dan yang faham itu bukan kerja kita. Yang menyampai dan yang disampai adalah manifestasi keagungan dan kebijaksaan Allah Subhanahu wa Taala. Sikit pun tiada kena mengena dengan kita.”
Krik krik krik krik...
Kali kubiarkan cengkerik di luar sana berbunyi lebih lama. Akalku perlu kerja keras lagi. Kalau tidak semua ni akan membazir. Tidak hadam dan berlalu sia-sia.“Saya mohon ke tandas dulu musafir tua. Tiba-tiba perut saya memulas-mulas”.
Agak lama juga aku di tandas. Perut yang memulas masih terasa putaran angin di dalamnya. Jelas ada yang tak kena dengan perut ku malam ni. Sebaik sahaja aku sampai di ruang tamu, ku lihat musafir tua sedang membaca al-quran. Perlahan tapi jelas sebutan makhraj dan hukum tajwidnya.
Aku mengambil tempat di sudut bertentangan dengan musafir tua. Sambil bersandar ku pejamkan mata dan menghayati kelunakan alunan ayat suci Al-Quran dari musafir tua. Dapat aku rasakan ketenangan walaupun sebentar tadi perutku memulas-mulas kesakitan. Tanpa ku sedar, air mataku berlinangan. Syahdu, asyik, damai semuanya bercampur baur. 20 minit berlalu, musafir tua menamatkan bacaannya. Dia tersenyum melihatku menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun. Berkat bersiwak barangkali.
"Hah, macamana perut kau ? Dah lega?"
"Alhamdulillah, ok dah sikit. Tadi sakit betul. Angin mungkin" jawabku sambil mengusap-usap perut. 
"InshaAllah, lepas ni baik la tu. Kalau jadi lagi baik kau pergi klinik. Mana tau takut-takut tersalah makan. Sementara tu, kau letakkan tangan kau kat perut. Baca bismillah 3 kali dan sambung dengan doa ni, 'A’uudzu billahi wa qudrotihi min syarri maa ajidu wa uhaadziru'. Cuba kau amalkan. Letakkan tangan kau kat tempat yang sakit dan baca doa itu. InshaAllah diberi keringanan dan kesembuhan. Tu doa yg Rasulullah SAW ajar kepada sahabat." Jelas musafir tua sambil dahinya berkerut mengingat sesuatu. Mungkin mengingat doa-doa hafalannya. 
"Alhamdulillah, terima kasih musafir tua. Nanti saya tuliskan, senang saya nak hafal. Tapi apa maksudnya tu". Tanyaku sambil mencapai pen dan buku nota yang tersimpan dalam beg galasku.
"Maksudnya lebih kurang begini, 'Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari keburukan yang sedang aku rasakan dan yang aku khuatirkan'. Tu la, aku suruh kau ambil kelas bahasa Arab kau degil." Aiseh, sempat lagi musafir tua menyindir aku. Aku hanya tertawa kecil. Dalam hati bersyukur kerana diberi kesempatan mengenali musafir tua. 
Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. 
Masa yang berlalu terasa pantas berlari. Seolah-olah cemburukan pertemuan kami. Aku menarik nafas lega, bersyukur atas nikmat persahabatan yang bersemi. Teringat kata-kata musafir tua sedikit masa lalu, 'Sahabat yang baik adalah yang mengingatkan kita kepada Allah SWT. Yang banyak mengajar kita melalui lisan perbuatan berbanding lisan perkataan". 
Ada kebenaran kata-katanya. Kerana banyak di luar sana yang kuperhatikan hanya sekadar manis berbicara dan petah berkata-kata namun amalnya jarang sekali ikut serta. Aku mohon perlindungan dari Allah sifat yang sedemikian. Semoga kelemahan yang terzahir itu menjadi asbab keinsafan dan air mata taubat yang akan mendekatkan kita dengan keredhaan Yang Maha Pencinta. 
"Hmmm lama kau bertafakur. Alhamdulillah, selalu-selalulah begitu. Ada pendapat mengatakan sejenak bertafakur lebih baik daripada ibadah setahun..." Sapaan musafir tua menyedarkan ku kembali. Aku tersengih. 
"Maaf musafir tua, saya tak sengaja biarkan musafir tua sendiri. InshaAllah, akan saya amalkan apa yang saya pelajari malam ni. Masa yang ada rasa macam terlalu singkat untuk mengejar redhaNya. Terima kasih kerana menyedarkan saya." Jawabku, sambil memasukkan kembali buku nota ke dalam beg galas. 
"Eh kenapa tergesa-gesa ni. Dah malam sangat dah ni. Kau tidurlah rumah aku. Lagipun, cuaca macam nak hujan tu." Berkerut wajah musafir tua. Jelas kerisauan yang terpancar."Kau tidur sini je dulu malam ni. Lagipun kau naik motor kan. Kejap lagi hujan la tu. Nanti tak pasal-pasal kau ambil cuti esok. Lepas subuh nanti, kau balik la. Masih awal lagi tu." Ada benarnya juga nasihat musafir tua. Jam pun dah hampir 11.00 malam. Belum sempat aku berkata apa-apa, guruh di langit sudah mula berdentum...
Grummmm.... 
Dan tidak lama kemudian, hujan turut menemani kami. Mujur aku tidak meneruskan niatku sebentar tadi jika tidak pasti aku akan terperangkap di jalanan atau kuyup kebasahan. Kedinginan malam yang ditambah dengan hujan rahmat mula meresap dan menerobos masuk melalui celah-celah dinding kayu rumah musafir tua. 
"Eh, maaf saya bertanya, musafir tua memang selalu lewat tidur ke?" Tanyaku sambil memeluk tubuh yang mula merasai kedinginan. 
"Biasanya waktu ni aku dah tidur. Tapi seronok aku kau datang malam ni. Matapun tak rasa mengantuk. Alhamdulillah, bukan selalu kita boleh bertemu. Kau tunggu jap, aku ambilkan tilam, bantal dan selimut. Macam beku dah aku tengok kau." Jawab musafir tua sambil perlahan-lahan menuju ke bilik. 
Aku mengangguk kepala. Dalam diam aku rasa bersalah pula sebab menganggu rutin musafir tua. 
Selang tak berapa lama kemudian, musafir tua keluar membawa segala perkakasan tidur. Dengan segera aku menyambutnya dan membentangnya di sudut ruang tamu. 
"Kau tau tak apa asas kehidupan ni?" Soal musafir tua tiba-tiba.Aku terdiam sejenak. Fikir. "Hmmm...makanan kut" jawabku menduga."Makanan memang penting tapi asas kehidupan ni adalah kasih sayang. Kita dilahirkan ke dunia hasil kasih sayang ibubapa kita. Allah ciptakan alam ini dengan rahmat dan sifat kasih sayangNya." 
"Dengan kasih sayang lah kita meneruskan kehidupan. Tanpanya, zahir hidup tapi batin mati. Tiada nikmat dari kehidupan yang cuma sebentar ini.""Jadi, kau jangan risau. Kau berehatlah dulu. Aku dan urusanku tidak sesekali terganggu dengan kehadiran kau. Malah adalah tanggungjawabku untuk memastikan tetamuku mendapat haknya." 
Setelah memastikan semua keperluanku tersedia, musafir tua kemudian mohon diri untuk masuk ke biliknya meninggalkan aku terkebil-kebil keseorangan. Ternyata musafir tua dapat membaca isi hatiku sebentar tadi. 
Dan hujan pula turun semakin lebat..... 
Aku menarik selimut hingga ke dada. Desiran hujan yang menimpa atap rumah kalau didengar dengan teliti seakan berirama. Lagu yang memanifestasikan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Dalam keasyikan lagu itu, fikiran ku turut tidak mahu ketinggalan bersimfoni dengan guruh dan hujan mendendangkan lagu alam. Liriknya, adalah kata-kata musafir tua yang masih terngiang-ngiang di telinga. 
"Dengan kasih sayanglah kita meneruskan kehidupan" Aku akui rasa kasih sayang inilah yang menguatkan azam dan semangatku untuk keluar mencari rezeki menyara anak dan isteri. Dengan kasih sayanglah, aku dinasihati dan tidur malam ini di rumah musafir tua. Dan dengan kasih sayanglah, hujan turun malam ini, sebagai rahmat dari Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 
"Kasih sayang itu sifatnya menghidupkan. Ianya menghidupkan jiwa yang mati, ianya juga menghidupkan bunga yang layu dan ianya juga menghidupkan tali persaudaraan sesama kita." Kali ini hati kecilku pula berdialog denganku.Tanpa kasih sayang, tak mungkin ada kehidupan. Bab kata musafir tua,"Tanpanya, zahir hidup tapi batin mati..." 
Aku bersyukur sangat malam ini. Walaupun aku sering terlalai dan lupa dengan amanahku sebagai hambaNya, namun Allah SWT dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Nya masih lagi memberi aku kesempatan untuk bertafakur dan muhasabah diriku. Semoga selepas ini aku diberi kekuatan untuk bermuraqabah dan bermujahadah. Sesungguhnya jalan menuju redhaNya banyak onar dan duri yang menanti. 
Tanpa sedar air mataku turut mengalir, menghujani puncak akal dan lembah nafsu. Memadamkan bara keegoaan dan api amarah yang selama ini sering menemani. Ya Allah ampunilah dosa-dosa dan kesalahanku yang telah lalu. Ya Allah, ingatkanlah aku, sesungguhnya aku sering terlupa. 
Hujan mulai reda, matapun mula terlena... 
Sayup-sayup kedengaran suara azan memecah kesunyian dan kedinginan subuh. Seakan memberi kehangatan kepada jasad yang seketika tadi mati dan memberi kekuatan kepada jiwa yang mencari. 
Aku tersedar. Terasa tidur ku kali ini adalah yang paling lama dan yang paling nyenyak. Di luar sana, suara azan saling bersahutan. Dan dengan kesamaran ku lihat kelibat musafir tua. 
"Haa...baguslah kalau dah jaga. Bersiaplah, jumpa aku lepas solat nanti di mesjid." Serentak, musafir tua membuka suis lampu dan sekaligus menyilaukan pandanganku."Aku pergi dulu". Musafir tua meninggalkan aku yang masih meraba dalam terang. Akalku masih lagi berusaha menyesuaikan dengan perubahan gelap dan terang yang berlaku. 
Selesai solat, musafir tua mengisyaratkan kepada ku untuk pergi ke beranda mesjid. Aku segera ke sana, menanti musafir tua sementara dia menyelesaikan urusannya. Sudah lama aku tak solat subuh berjemaah di mesjid. Rasanya sepanjang hidup aku, tak banyak subuhku di mesjid. Ternyata imanku masih lagi tak sado. Harap muka je hensem. Dalam diam aku mengundang sifat riak di hati. Astagfirullah... 
"Pukul berapa kau masuk kerja nanti?" Soalan musafir tua yang secara mengejut melenyapkan segala mainan perasaan sebentar tadi. 
"Pukul 8.30 pagi musafir tua. Awal lagi ni." Jawabku sambil tersengih-sengih. Sengih kerana ternyata aku agak kekok sedikit solat berjemaah di mesjid. Semoga dengan sengihan tu menyembunyikan perasaan kekok ku daripada musafir tua. 
"Bagusla tu. Tak la kau tergesa-gesa nanti. Sebenarnya, waktu kita kt dunia ni Allah dah bagi jadual yang terbaik. Tapi sayang tak ramai yang ambil peluang. Kalaulah mereka sedar dan tahu akan manfaatnya, orang lumpuh pun akan berusaha untuk solat awal waktu di mesjid." 
Aku diam sambil memikirkan kebenaran kata-kata musafir tua. 
"Segala penciptaan Allah di alam ini tertakluk kepada waktu. Dalam keterbatasan waktu itu, jodoh, rezeki dan maut kita ditentukan. Cukup masa apa yang berlaku pasti akan berlaku tanpa ada perselisihan sedikitpun padanya. Dan sesungguhnya itu adalah rahsia Yang Maha Berkuasa. Kita sebagai hambaNya hanya perlu yakin dan redha dengan Qada' dan Qadar yang telah ditentukan. Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segalanya. Apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk kita" 
"Jadi, bila Allah tetapkan waktu untuk kita solat, kita seakan menolak segala hikmah dan manfaat yang tersedia dengan melewatkan dan mengecilkannya dengan mendahului dan membesarkan urusan dunia. Sedangkan di awal waktu kita diingatkan dengan laungan keramat 'Allahuakbar'. Allah Maha Besar. Ternyata apa yang kita lafazkan tidak seiring dengan apa yang kita amalkan..." 
Kali ini panjang lebar musafir tua memberi penjelasan. Nampak kesungguhannya untuk memberi kefahaman kepadaku yang serba jahil ini. Dan aku diam bukan aku protes tapi aku diam kerana akalku sedang memproses. Memproses segala bahan yang dikongsi agar dapat menjadi bekalan perjalanan hidup ini. 
Pagi itu dalam perjalanan ke pejabat, aku teringat kata-kata akhir musafir tua sebelum aku berpisah dengannya. "Rahsia Allah banyak terkandung dalam solat. Genggam, pelihara dan suburilah ia sebaiknya. Jagalah solat, inshaAllah yang lain akan menjaga kita...." 
Petang itu sebaik sahaja habis waktu pejabat, aku segera bergegas pulang. Cuba mengelak kesesakkan. Dalam fikiran, cuma satu. Ingin solat maghrib berjemaah di mesjid bersama musafir tua. Dan perjalanan petang itu ditemani baur keinsafan dan semangat hijrah yang membara. 
Alhamdulillah, ketika aku tiba di mesjid azan baru sahaja bermula. Setiap bait azan yang berkumandang aku semadikan di dalam hati dengan harapan ianya dapat memberi aku keinsafan dan kekuatan. Di pintu mesjid, musafir tua tersenyum melihat aku. 
"Dalam mengharungi jalan suluk ini, kau akan melihat dan menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Tetaplah di jalanNya. Bukan mudah tapi tidak juga mustahil". Kata-kata musafir tua sedikit sebanyak memberi perangsang kepadaku. Kami duduk bersama di balkoni mesjid selesai solat maghrib. Sementara menanti isya', aku mengambil kesempatan untuk menyuburkan lagi bibit-bibit keinsafan dengan berbual-bual bersama musafir tua. Sessi taklim kata rakanku di pejabat. 
"Ianya akan menjadi berat dan payah kalau hati lebih menyintai dunia tetapi amat ringan dan mudah kalau cinta dan redha Allah yang kita damba". 
Aku mengangguk. Dalam hati aku berdoa agar aku diberi kekuatan dalam beristiqomah untuk menggapai redha Allah. 
"Bimbinglah saya musafir tua. Saya ingin bertaubat dari dosa-dosa saya yang lalu dan membuka lembaran baru. Selama ini jiwa saya liar. Nafsu saya membara. Fikiran saya singkat. Iman saya tipis. Senang sekali tergelincir ke jalan maksiat dan kemungkaran. Saya hidup pada zahir tapi nazak pada batin. Bantulah saya". Dan untuk kesekian kalinya air mataku berlinangan. 
Memahami, musafir tua memegang bahuku. "InshaAllah, sama-sama kita tempuhi. Air mata taubat dan keinsafan ini adalah pintu utama untuk kita bermusafir di jalanNya. Syukur kerana kita masih diberi peluang untuk kembali. Malam ini adalah langkah pertama kita bersama. InshaAllah..." 
Di luar sana suasana tenang dan damai sekali. Baru aku sedar, sudah lama aku tidak merasa sedemikian. 
"Alhamdulillah, terima kasih musafir tua. Hanya Allah yang mampu membalasnya." Dengan genangan air mata, aku lepaskan segala keegoaan. Terasa bebanan yang selama ini membelenggungi hilang tiba-tiba. Hilang bersama air mata dan rasa keinsafan yang mencengkam. 
"InshaAllah, bila cahaya Allah menembusi hati hambaNya, segala yang terbuku dan terbungkam selama ini pasti menjadi terbuka, jelas dan lapang. Segala masalah dilihat sebagai peluang untuk mengejar redha yang Maha Esa." Kata-kata musafir tua seolah-olah dapat membaca isi hatiku. Namun, perkara itu tidak lagi menjadi sesuatu yang baru atau pelik bagiku. Semuanya mustahil dengan izin Allah. 
"Ada orang melewati jalan jauh untuk menggapai redha Ilahi. Menuruni lembah maksiat dan bergelumang dengan lumpur dosa sebelum menemui jalan rahmat dan kasih sayang Allah. Kebanyakkan dari kita memang begitu. Terpesona dengan kilauan dunia sehingga buta tidak nampak jalan ke akhirat." Jelas musafir tua perlahan tapi cukup menusuk ke benakku. 
"Tapi rahmat Allah tidak pernah putus. Kasih sayangNya tak terbanding. Dalam kealpaan, keasyikkan kita dengan dunia dan tipudayanya, masih ada sinar petunjuk yang dikurnia kepada kita untuk kita kembali kepadaNya. Beruntunglah mereka yang terpilih dan kemudian meninggalkan kebathilan menuju yang hak. Dan alangkah ruginya mereka yang terpilih, disinari cahaya Ilahi namun masih lagi menuruti kegelapan nafsu.""Beginilah, sekejap lagi masuk waktu isya'. Kita siap2 dulu. InshaAllah nanti kita sambung di rumah. Itupun kalau kau sudi bertandang." 
Aku mengangguk kelegaan. Lega kerana musafir tua tidak pernah berputus asa memberi aku nasihat dan pedoman. Lega kerana di ketika silauan dunia menyilau pandangan, masih lagi diberi redup harapan oleh Yang Maha Esa. Aku biarkan musafir tua berlalu sementara aku duduk merungkai keinsafan. 
Di sudut masjid itu aku menghitung dosa. Satu persatu hingga aku hilang hitungannya. Aku ulangi. Hingga aku akhiri dengan air mata. Ternyata dosaku seluas lautan. Tak mampu aku rangkum semuanya. 
"Ya Allah, jika hambaMu ini pergi menemui Mu dalam keadaan berlumuran dosa, sesungguhnya aku tak mampu menghadapi azab dan seksa Mu. Berikanlah sedikit palitan kasih sayang Mu agar aku mampu menguatkan diriku berdiri teguh di jalan syariat Mu. Kurniakanlah kekuatan iman dan takwa dalam jiwa yang lemah ini, agar aku dapat mengharungi ujian dunia yang tidak putus-putus". 
Aku ingin redhaMu dan Kau perkuatkanlah keinginan yang hadir dalam hatiku dengan keampunan dan rahmat Mu. Sesungguhnya rahmat Mu maha luas, lebih luas dari himpunan dosa aku dan dosa-dosa penghuni dunia." 
"Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun, kasihanlah kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah." 
Serentak, azan isya' berkumandang. Dan aku bersyukur aku masih diberi kesempatan menyahut seruannya di rumah Allah pada malam yang damai ini. Perjalanan musafir ku masih jauh, namun akan ku gagahi dengan semangat rindu yang membara. Rindu pada kampung halaman yang jauh di mata tapi dekat di jiwa. InshaAllah… 
PERJALANAN MASIH PANJANG





Tuesday, 26 May 2020

GURU, TANPAMU SIAPALAH AKU

Rotan, cincin, pembaris panjang, kapur dan pemadam papan hitam (duster) adalah antara alat-alat yang sinonim dengan guru-guru dalam hidupku. Dengan alat-alat tersebutlah aku dibesarkan dan sedikitpun aku tidak pernah berdendam dengan mereka. Malahan aku amat berterima kasih dan menghormati mereka kerana mendidik aku sehingga menjadi seperti sekarang. Jasa mereka tidak terbalas, hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi keadilan atas usaha mereka mendidikku selama ini. Doaku semoga mereka sentiasa dalam rahmat keampunan dan perlindungan Allah walau di mana mereka berada. Untuk guru-guru yang telah pergi, semoga roh mereka tenang bersama orang-orang yang beriman. Aminn…

Form 1

Antara guru yang paling ku sayang ketika kecil ialah guru mengajiku. Tak lain dan tak bukan arwah datukku, Che Noh bin Deraman. Kerana dialah aku mengenal alif ba ta dan boleh membaca Al-Quran. Dengan rotan di tangan, dia berjaya mendidik aku dan kakakku sehingga khatam. Alhamdulillah. Guru sekolah rendah yang memberi pengaruh besar dalam hidupku pula ialah Teacher
Lita Tan
, guru bahasa inggeris yang berbangsa Tiong Hua. Kerana dia lah aku menjadi minat belajar bahasa inggeris dan sering mendapat markah tertinggi dalam kelas. Komitmen beliau dan kaedah pembelajaran yang kreatif membuatkan kami murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Abal terhibur dan seronok belajar semasa kelas beliau. Sesekali beliau akan memetik gitar kesayangannya mendendangkan lagu bahasa inggeris sambil bernyanyi bersama-sama kami. Kenangan indah yang sehingga ke hari ini melekat dalam kotak ingatanku. Alhamdulillah, beliau akhirnya diberi hidayah dan telah memeluk Islam. Sehingga ke hari ini kami masih berhubung.
Antara cikgu yang paling ku takuti pula ialah Cikgu Aziz dan Cikgu Ibrahim aka Cikgu Him, kedua-dua mereka ialah guru matematik serta Guru Besar sekolah, arwah Cikgu Zakaria. Cikgu Aziz terkenal dengan pembaris panjangnya, manakala Cikgu Him dengan cincin permatanya yang sering meluku di kepalaku. Mungkin sebab tu, ada di antara kami yang bergeliga otaknya sama seperti batu permata Cikgu Him. Arwah Cikgu Zakaria pula pernah menampar pipiku gara-gara tidak hadir bertugas semasa aku jadi pengawas. Sakit dan memalukan bila aku ditampar di hadapan kelas namun tamparan itu membuat aku sedar dan insaf. Selepas kejadian itu aku menjadi pengawas yang bertanggungjawab dan tidak lagi ponteng dari tugas. Semoga rohnya tenang di sana.
Sekolah menengah pula adalah peringkat yang penuh cabaran. Mana tidaknya ketika ini jiwa remaja sedang memberontak. Banyak perkara yang ingin diketahui dan dicuba. Aku bersekolah di empat sekolah sewaktu peringkat menengah. Sekolah Menengah Bukit Jawa, Pasir Putih, Kelantan. Maktab Sultan Abu Bakar (English College), Johor Bahru. Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu dan yang terakhir di Maktab Tentera Diraja (Royal Military College), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Mungkin kerana tempoh yang sekejap di satu-satu sekolah membuatkan ingatanku kurang terhadap guru-guru yang pernah mengajar. Cuma ada satu guru sewaktu di MTD yang paling aku hormati sampai sekarang. Beliau ialah Sir
Allen Jeyarajasingam
, guru berbangsa India yang mengajarku bahasa inggeris semasa Tingkatan 4 dan 5. Ada satu insiden yang tidak dapat kulupakan di mana ketika itu aku ada menulis sesuatu yang tidak baik terhadap beliau. Nak dijadikan cerita, apa yang aku tulis tu kantoi dengan beliau dan aku terpaksa berdiri sepanjang kelas. Masih terbayang-bayang wajah Sir Allen yang marah ketika itu sambil meleteri aku. I am sorry sir, I was young and fool. Namun, aku bersyukur, kerana jasa beliaulah aku mendapat Credit C3 dalam bahasa inggeris semasa peperiksaan SPM. Not that good but not that bad either. Alhamdulillah, beliau juga telah diberi hidayah dan memeluk Islam dan kami masih berhubung sehingga ke hari ini.
Form 4
Sesungguhnya amat besar jasa dan pengorbanan seorang guru. Apatah lagi terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan ibu bapa. Semakin lama tugas seorang guru ini semakin mencabar seiring dengan peredaran masa. Tiada lagi rotan, pembaris panjang, cincin, kapur dan duster buat pelajar-pelajar. Senario pembelajaran telah berubah. Namun bagiku, apapun yang berlaku dahulu memberi banyak pengalaman dan pengajaran yang berguna dan bermanfaat dalam kehidupan. Tiada setitik dendam pun yang tersimpan terhadap guru-guru yang pernah memberi hukuman. Malahan aku berterima kasih, kerana hukuman-hukuman itulah yang membentuk dan mendidikku, memberi kesan yang positif dan membina dalam kehidupan mendatang. Terima kasih guru-guruku dan semua yang bergelar guru. Tanpamu siapalah aku…
SELAMAT HARI GURU – BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BARU!