Buku-buku yang mengelilingi ibarat tembok utuh yang menjadikan aku merasa selamat dan selesa. Bukan semuanya habis ku baca namun keberadaan buku-buku tersebut memberi ku kekuatan dan semangat. Seolah-olah ada guru yang boleh ku buat rujukan sekiranya keadaan memerlukan. Semoga ilmu yang terkandung di dalamnya akan dapat memberi manfaat dalam kehidupan. InshaAllah…
![]() |
Membaca Amalan Mulia |
Pada tahun 1998, semasa aku bekerja di Ladang
Telok Sengat, antara tugas yang diamanahkan padaku adalah untuk menubuhkan Mini
Library di Club House untuk dijadikan bahan bacaan kepada staff-staff ladang
dan keluarga mereka ketika itu. Satu bilik khas diperuntukkan untuk aku bagi
mengisinya dengan apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat. Maka bermulalah misi
aku ketika itu dengan memohon sumbangan dari semua warga ladang apa sahaja
bahan bacaan yang sesuai untuk aku jadikan koleksi di Mini Library Telok Sengat
Clubhouse. Alhamdulillah, aku menerima respons yang menggalakkan dan akhirnya
aku dapat mengumpul bahan-bahan bacaan dalam bentuk buku, majalah dan laporan-laporan
tahunan. Macam-macam bahasa ada, ada melayu, cina, tamil dan inggeris. Cukuplah
untuk dijadikan koleksi menarik di Mini Library kami.
Antara buku yang menarik perhatian aku ketika
itu dan seterusnya mempengaruhi langkah-langkah dalam kehidupanku ke depan
ialah ‘Follow Your Heart’ tulisan penulis motivasi terkenal Australia, Andrew
Matthews. Buku tersebut ditulis dalam bahasa yang mudah, lucu dan bersahaja
tetapi mengandungi maksud yang amat mendalam. Ianya disulami dengan kata-kata
mutiara yang dihias bersama lukisan karikatur penulis sendiri. Dari sinilah
minat membaca aku mulai berkembang. Setiap bulan pasti ada sekurang-kurangnya 1
buku yang aku beli untuk dijadikan koleksi.
Sehingga hari ini ada terdapat 513 buku dalam
daftar koleksi peribadiku termasuk sebahagian darinya yang musnah semasa banjir
besar di Kelantan pada tahun 2014. Ada sebahagian kecil masih dalam simpanan
kawan-kawan yang meminjamnya. Jadi, bilangan sebenar buku yang ada dalam rak
rumahku sekarang ialah 200 naskah (and counting) termasuk 2 kitab Al-Quran.
Buku bagiku adalah seperti madu, ianya manis,
berkhasiat dan bermanfaat tapi tak semua yang mengamalkan untuk meminumnya.
Bagi yang selalu membacanya pasti akan merasa seperti tidak lengkap jika
hari-hari yang dilalui tidak disertai dengan buku. Ianya bagaikan ‘supplement’
yang melengkapkan aktiviti harian. Terdapat terlalu banyak manfaat daripada
amalan membaca ini sebenarnya, jika tidak, masakan wahyu yang pertama
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah seruan untuk membaca, Iqra’! “Bacalah
dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia
daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang
mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa
yang tidak diketahui.” (Al-‘Alaq ayat 1-5). Ini secara tak langsung
menunjukkan kepada kita akan kepentingan untuk membaca dan menuntut ilmu
sehingga ayat ini dipilih sebagai wahyu pertama yang diturunkan. Dan berapa
ramai daripada kita yang menjadikannya sebagai amalan?
Justeru itu marilah kita sama-sama jadikan
membaca sebagai amalan harian kita. Manfaatnya sangat banyak, boleh tanya pakcik
Google. Antara apa yang menarik tentang membaca ini ialah bagaimana ia
mengaktifkan sel-sel neuron dan membentuk rangkaian-rangkaian baru (a new
highway) dalam otak kita. Ini secara langsung akan menjadikan kita lebih
berfikiran terbuka, kreatif, berimaginasi tinggi, empati, serta dapat mengelakkan
risiko penyakit Alzheimer, Amnesia, nyanyuk dan macam-macam lagi. Membaca
adalah senaman yang baik pada otak sebagaimana mengangkat besi senaman yang
baik untuk membina otot. Semasa membaca juga otak kita menjadi sangat aktif
berbanding menonton tv yang bersifat pasif.
Bagiku membaca dapat membawaku ke suatu dunia
yang unik dan berlainan. Ianya tergantung kepada daya imaginasi dan empati yang
ada pada setiap individu. 1 cerita yang sama mungkin akan berbeza bagi setiap
individu yang membacanya. Ini tergantung kepada ilmu, persepsi, pengaruh dan
kefahaman setiap individu itu sendiri. Apa-apapun ianya pasti memberi manfaat kepada
si pembaca tersebut. Senang cerita, buku adalah medan ‘hiking’ bagi otak.
Dengan membaca, otak kita sedang meneroka suatu alam yang selama ini belum lagi
pernah kita terokai. Ada cinta, ada suspens, ada magik, ada pengajaran, ada
ilmu, ada rahsia, ada misteri yang sedang menanti. Jom membaca!
“YOU DON’T HAVE TO BURN BOOKS TO DESTROY A
CULTURE. JUST GET PEOPLE TO STOP READING THEM.” – Ray Bradbury
nice
ReplyDeletethanks bro...
Delete