Thursday, 21 May 2020

KISAH MAKCIK ALPHARD DAN AKAK PENJUAL KUIH



Petang kelmarin setelah aku selesai membeli kuih untuk berbuka puasa aku melihat seorang makcik juga sedang beratur ingin membeli sesuatu. Di tangannya tersedia wang rm5. Aku menunggu sehingga giliran dia membeli juadah yang tersedia. Sebaik sahaja dia ingin membayar, aku mengisyaratkan kepada akak yang menjual untuk tidak mengambil duit makcik tersebut sambil aku menghulurkan wang dari dompetku. Makcik itu sedikit terkejut namun kemudian berterima kasih sambil senyum kepadaku.

“Terima kasihlah nak, semoga Allah murahkan lagi rezeki anak sekeluarga”, doa makcik tersebut kepadaku. Aku hanya mengangguk dan senyum kembali sambil dalam hati mengaminkan doa makcik tersebut. Makcik itu kemudian beredar dan menuju ke kereta Alphard yang diparkir tidak jauh dari situ. Mungkin anaknya ada menunggu di dalam. Aku hanya tersenyum sendirian.
Makcik tersebut sebenarnya boleh sahaja menolak pembayaran yang aku buat namun dia tidak berbuat demikian walaupun mungkin dia sebenarnya lebih mampu dari aku. Boleh jadi dia memberi aku peluang untuk berbuat kebaikan dan amal kebajikan di bulan yang mulia ini. Tidaklah banyak mana tetapi setiap sedekah yang dihulurkan tidak dinilai dari jumlah tapi keikhlasan. Semoga ianya menjadi amalan yang diterima Allah. Juadah yang aku bayarkan itu, adalah rezeki untuk makcik tersebut, sementara pahala sedekah itu pula inshaAllah adalah rezeki untuk aku. Mudah-mudahan...
Sebaik sahaja aku menerima wang baki dan ingin beredar dari situ, akak penjual kuih tersebut menghulurkan pula satu bungkusan kuih kepadaku. Kali ini giliran aku pula tercengang. “Ambil la dik, tinggal satu je lagi, akak sedekahkan. Alang-alang juga,” gesa akak tersebut sambil mengoyang-goyang bungkusan di tangannya. “Alhamdulillah, terima kasih kak. Semoga jualan akak sentiasa laris.” Giliran aku pula mendoakan akak tersebut sambil menyambut bungkusan yang dihulurkan.
Alhamdulillah. Sesungguhnya rezeki memang tidak pernah salah alamat. Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Tinggal lagi untuk kita berusaha dan berdoa agar rezeki yang diterima adalah rezeki yang halal dan berkat. Teringat kata-kata seorang rakanku, “ bersedekah adalah sesuatu yang indah. Dalam kita memberi, kita sebenarnya sedang menerima. Kita menerima doa dari orang yang menerima sedekah dan pahala yang berlipat ganda dari Allah. Oleh itu sentiasalah mencari peluang untuk berbuat demikian, banyak atau sedikit bukan persoalan tapi yang paling utama adalah niat yang ikhlas untuk mendapat keredhaanNya."
"Dan sebagai orang yang menerima sedekah atau apa-apa nikmat sekalipun, kita perlu ingat bahawa apabila datangnya kebaikan kepada seseorang hamba Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memberi nikmat dan menguji kita pada waktu yang sama. Sekiranya kita bersyukur ia adalah suatu rahmat manakala sekiranya kita kufur ianya adalah suatu istidraj. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur. InshaAllah."
Sesungguhnya banyak hikmah yang aku dapat dari kakak penjual kuih dan makcik alphard. Kejadian yang biasa tapi pengajaran yang luar biasa. Alhamdulillah...
'DENGAN NIKMAT KITA BERSEDEKAH, DENGAN BERSEDEKAH KITA BEROLEH NIKMAT'

No comments:

Post a Comment