Saturday, 30 May 2020

DIALOG BERSAMA MUSAFIR TUA

Sudah lama aku tidak ke rumah musafir tua. Biasanya, musafir tua jarang berada di rumah tapi malam itu nasib menyebelahi aku.Hanya sekali salam, suara musafir tua kedengaran membalas doa yang aku laungkan. Aku segera bergegas naik ke rumahnya sambil menghulur pisang goreng yang ku belikan tadi. Setelah menyediakan kopi O, musafir tua duduk bersila di hadapanku sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Sudah agak lama tidak bersua, jelas raut di wajahnya makin kelihatan. 

Suasana hening seketika sambil kami menikmati goreng pisang dan menghirup kopi panas. Musafir tua tersenyum, seolah2 dapat membaca apa yang berada dalam kotak fikiranku. Tiada lain, biasanya kedatangan aku adalah untuk belajar sesuatu."Kenapa lama tak datang mesjid?" Musafir tua menjerat aku dengan pertanyaan yang aku sendiri susah menjawabnya. Aku hanya tersenyum sinis. Cuba mencari jawapan yang sesuai, namun aku buntu. Takkan aku nak jawab malas. 
"Soalan mudah pun dah tak boleh jawab....belum lagi disoal malaikat dalam kubur nanti." Sindir musafir tua sambil menghabiskan kopi di cawannya."Tak rindu ke pada mesjid? Tak rindu pada rumah Allah. Kalau rumah Allah pun jarang kita bertandang, macamana kita nak kenal Allah. Macamana kita nak dapat rahmat Allah"
"Kau datang rumah aku, aku dapat jumpa kau, berbual2 dengan kau sekaligus mendekatkan hubungan kita. Secara tak langsung kau lebih istimewa di pandangan aku berbanding dengan orang lain. Kau nampak tak?" Alamak, pedas sungguh. Aku hanya mampu ketawa kecil sambil berharap tiada lagi pertanyaan2 dari musafir tua yang membuat aku kepedasan.
"Selalu selalu la ke mesjid. Esok-esok ke situ jugak kau nak dimandikan, disolatkan" Aduhh, kena lagi. Goreng pisang rangup dah semacam liat aku rasakan. Aku kena tukar topik sebelum aku ditembak berterusan oleh musafir tua.
"Musafir tua dah daftar mengundi ke. Tak lama lagi dah nak pilihanraya dah ni?" Soalku sambil berharap topik kali ini berjaya membuatnya lupakan sementara tentang aku.
"Pilihanraya kau ingat. PilihanNya kau buat lupa2. Itulah, kau besarkan dunia melebihi akhirat. Itu je yang kau nampak, undi di dunia...undi di akhirat kau lupa nak daftar." Kali ni giliran kopi pula ku rasa kelat....Teruk aku kena malam ni. Tapi aku faham sangat dengan musafir tua, walau kata2nya pedas di telinga, menusuk di jiwa namun tujuannya mulia. Untuk menyedarkan orang-orang yang alpa macam aku ni.
"Kerja macamana?" Tanya musafir tua. Mungkin dia pun dah menyedari riak muka ku yang kelat sebentar tadi.
"Alhamdulillah, setakat ni baik. Rakan sekerja bagus, bos bagus, suasana pun positif. Ini adalah kerja yang terbaik yang pernah saya kerja berbanding sebelum-sebelum ni. Gaji pun ada lebih sikit". Jelasku dengan sedikit lega. Lega kerana musafir tua tidak lagi menghentam aku.
"Hmmm...tapi aku rasa kerja kau yang dulu lagi baik..." Balas musafir tua sambil mencapai baki terakhir goreng pisang. Aku hanya diam. Membiarkan musafir tua menikmati goreng pisang yang terakhir tersebut sambil benakku cuba memahami maksud kata-katanya sebentar tadi.
Bagai memahami, musafir tua meneruskan. "Aku rasa kerja kau dulu lagi baik. Dulu selalu jugak kau ke mesjid. Dengar orang baca kitab...Di mana kebaikan jika ianya semakin menjauhkan kita dengan Allah. Dan mana letaknya keburukan jika ianya semakin mendekatkan kita denganNya. Kau cakap tadi, gaji kau ada lebih sikit berbanding dulu. Rezeki kau tu datang dari Allah, sepatutnya kau lebih bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dengan mendekatkan lagi diri dengan Allah bukan sebaliknya" Alamak, kena lagi... Namun aku akur akan kebenaran kata2 musafir tua. Benar katanya, sejak aku dapat kerja baru ni, masa aku lebih banyak untuk dunia dan isinya. Aku semakin jauh dengan al-quran dan solat berjamaah. Sedangkan itulah dulu yang menenangkan aku.
"Kau nak air lagi tak? Kalau nak aku suruh anak aku jerang lagi kt dapur" Pertanyaan musafir tua menyedarkan aku dari lamunan. Bukan lamunan malam ni sahaja, tetapi juga lamunan2 dunia selama ini yang sifatnya indah namun sementara dan memperdaya. Hmmm...dalam diam aku bersyukur kerana digerakkan hati ke rumah musafir tua malam ini. Sudah agak lama aku sibuk dengan urusan dunia sehingga kadang2 aku lupa matlamat dunia yang sebenar. "Kita manusia ni memang cepat lupa. Itulah kelemahan kita." Getus musafir tua tiba-tiba seakan dapat membaca fikiranku. "Sebab tu la, Nabi dan Rasul diutuskan, Al-Quran diturunkan, solat difardhukan, semuanya untuk membantu kita manusia ingat padaNya. Tapi macamana nak ingat kalau itu semua kita tinggalkan. Sebab itu kita kenal dulu Allah, baru senang kita nak ingat padaNya. Awaluddin Makrifatullah, seawal-awal agama hendaklah kita mengenal Allah...kalau tidak zahir sahaja yang solat tetapi batin ingat pejabat, ingat hutang, ingat makan. Pengisian solat kosong dan sia2. Tidak tercapai maksud dan matlamat..." Jelas musafir tua sambil menghulur kopi yang dihidang oleh anaknya.
"Kau tengok kopi ni, hitam tapi manis. Manis kopi kerana gula. Kopi tu adalah luaran, gula pula adalah dalaman yang tak nampak. Tapi kerana gula kopi itu menjadi manis. Tanpa gula, kopi hanyalah minuman yang pahit dan kelat. Begitulah kita manusia, kena ada gula sebagai pengisian dalaman. Gula kita adalah iman. Barulah manis dalam kehidupan" Perlahan2 musafir tua menghirup kopi panas yang baru dihidangkan tadi. Nikmat kopi sebenar.
"Tapi musafir tua, terlampau manis pun ada mudharatnya. Nanti kena kencing manis." Gurauku sambil turut menikmati kopi panas tersebut.Musafir tua tidak ketawa. Wajahnya bersahaja sambil memandang tepat ke arahku
Alamak...
Aku menundukkan pandangan. Tak mampu rasanya bertentang mata dengan musafir tua. Risau kalau-kalau aku menyinggung hatinya.
"Betullah apa yang kau cakapkan tu. Terlalu banyak gula pun tak bagus juga. Setiap apa yang masuk mesti ada yang keluar. Gula yang ada dalam badan kita kan digunakan sebagai tenaga. Kalau tak guna, lama kelamaan gula ni akan berlebihan. Bila dah lebih hah mulalah macam-macam penyakit yang datang."
Aku menarik nafas lega. Mujur gurauanku itu tadi ada isinya. Tidak sedikitpun mengocak ketenangan riak muka musafir tua. Alhamdulillah...
"Samalah dengan iman kita. Mesti diterjemahkan dengan amal. Barulah seimbang. Barulah sihat. Sebab iman tanpa amal hanyalah pura-pura, manakala amal tanpa iman adalah sia-sia. Kau tau apa penyakit orang yang beriman ni?
Aku menggelengkan kepala. Belum sempat aku membuka mulut, musafir tua terus memberi jawapan.
"Penyakit orang beriman ni adalah riak, bongkak, sombong, takabur, sum'ah. Apalah gunanya iman di dada jika ianya sekadar mengisi riak dan ujub diri. Kalau tidak diterjemahkan melalui amal, zikir, doa dan sebagainya takut-takut kita pun jadi seperti Iblis yang terkutuk. Terperangkap dengan fitnah ilmu dan iman sehingga tidak mau tunduk kepada Nabi Adam AS dan mengingkari perintah Allah SWT. Iman sahaja tidak cukup. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 75 yg bermaksud, "Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya"
"Haa..kau faham tak ni?"
Krik...krik...krik...
“In shaa Allah faham musafir tua.” Saja aku membiarkan lama musafir tua menunggu. Bukan apa.. akalku perlu mengambil lebih masa untuk menghadam apa yang disampaikan sebentar tadi.
Takut salah faham. Nanti jadi harubiru pula. Maklumlah orang awam macam aku ilmu tidak tinggi.
“Alhamdulillah..banyak ilmu yang saya dapat malam ni. Mohon musafir tua halalkanlah segalanya. Semoga pertemuan kita malam ini menjadi titik mula dalam hidup saya untuk berubah ke arah lebih baik.” Musafir tua membetulkan silanya. Mungkin terlalu lama kami berbual sehinggakan kakinya turut memprotes. Lenguh.
“Aku tiada ilmu apa-apa untuk dikongsi. Cuma memperingatkan diri sendiri. Pada setiap kejadian yang berlaku disekeliling kita, yang bersangkut paut dengan kita ada hikmah yang ingin disampaikan supaya kita muhasabah kembali. Yang terucap dan yang faham itu bukan kerja kita. Yang menyampai dan yang disampai adalah manifestasi keagungan dan kebijaksaan Allah Subhanahu wa Taala. Sikit pun tiada kena mengena dengan kita.”
Krik krik krik krik...
Kali kubiarkan cengkerik di luar sana berbunyi lebih lama. Akalku perlu kerja keras lagi. Kalau tidak semua ni akan membazir. Tidak hadam dan berlalu sia-sia.“Saya mohon ke tandas dulu musafir tua. Tiba-tiba perut saya memulas-mulas”.
Agak lama juga aku di tandas. Perut yang memulas masih terasa putaran angin di dalamnya. Jelas ada yang tak kena dengan perut ku malam ni. Sebaik sahaja aku sampai di ruang tamu, ku lihat musafir tua sedang membaca al-quran. Perlahan tapi jelas sebutan makhraj dan hukum tajwidnya.
Aku mengambil tempat di sudut bertentangan dengan musafir tua. Sambil bersandar ku pejamkan mata dan menghayati kelunakan alunan ayat suci Al-Quran dari musafir tua. Dapat aku rasakan ketenangan walaupun sebentar tadi perutku memulas-mulas kesakitan. Tanpa ku sedar, air mataku berlinangan. Syahdu, asyik, damai semuanya bercampur baur. 20 minit berlalu, musafir tua menamatkan bacaannya. Dia tersenyum melihatku menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun. Berkat bersiwak barangkali.
"Hah, macamana perut kau ? Dah lega?"
"Alhamdulillah, ok dah sikit. Tadi sakit betul. Angin mungkin" jawabku sambil mengusap-usap perut. 
"InshaAllah, lepas ni baik la tu. Kalau jadi lagi baik kau pergi klinik. Mana tau takut-takut tersalah makan. Sementara tu, kau letakkan tangan kau kat perut. Baca bismillah 3 kali dan sambung dengan doa ni, 'A’uudzu billahi wa qudrotihi min syarri maa ajidu wa uhaadziru'. Cuba kau amalkan. Letakkan tangan kau kat tempat yang sakit dan baca doa itu. InshaAllah diberi keringanan dan kesembuhan. Tu doa yg Rasulullah SAW ajar kepada sahabat." Jelas musafir tua sambil dahinya berkerut mengingat sesuatu. Mungkin mengingat doa-doa hafalannya. 
"Alhamdulillah, terima kasih musafir tua. Nanti saya tuliskan, senang saya nak hafal. Tapi apa maksudnya tu". Tanyaku sambil mencapai pen dan buku nota yang tersimpan dalam beg galasku.
"Maksudnya lebih kurang begini, 'Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNya dari keburukan yang sedang aku rasakan dan yang aku khuatirkan'. Tu la, aku suruh kau ambil kelas bahasa Arab kau degil." Aiseh, sempat lagi musafir tua menyindir aku. Aku hanya tertawa kecil. Dalam hati bersyukur kerana diberi kesempatan mengenali musafir tua. 
Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. 
Masa yang berlalu terasa pantas berlari. Seolah-olah cemburukan pertemuan kami. Aku menarik nafas lega, bersyukur atas nikmat persahabatan yang bersemi. Teringat kata-kata musafir tua sedikit masa lalu, 'Sahabat yang baik adalah yang mengingatkan kita kepada Allah SWT. Yang banyak mengajar kita melalui lisan perbuatan berbanding lisan perkataan". 
Ada kebenaran kata-katanya. Kerana banyak di luar sana yang kuperhatikan hanya sekadar manis berbicara dan petah berkata-kata namun amalnya jarang sekali ikut serta. Aku mohon perlindungan dari Allah sifat yang sedemikian. Semoga kelemahan yang terzahir itu menjadi asbab keinsafan dan air mata taubat yang akan mendekatkan kita dengan keredhaan Yang Maha Pencinta. 
"Hmmm lama kau bertafakur. Alhamdulillah, selalu-selalulah begitu. Ada pendapat mengatakan sejenak bertafakur lebih baik daripada ibadah setahun..." Sapaan musafir tua menyedarkan ku kembali. Aku tersengih. 
"Maaf musafir tua, saya tak sengaja biarkan musafir tua sendiri. InshaAllah, akan saya amalkan apa yang saya pelajari malam ni. Masa yang ada rasa macam terlalu singkat untuk mengejar redhaNya. Terima kasih kerana menyedarkan saya." Jawabku, sambil memasukkan kembali buku nota ke dalam beg galas. 
"Eh kenapa tergesa-gesa ni. Dah malam sangat dah ni. Kau tidurlah rumah aku. Lagipun, cuaca macam nak hujan tu." Berkerut wajah musafir tua. Jelas kerisauan yang terpancar."Kau tidur sini je dulu malam ni. Lagipun kau naik motor kan. Kejap lagi hujan la tu. Nanti tak pasal-pasal kau ambil cuti esok. Lepas subuh nanti, kau balik la. Masih awal lagi tu." Ada benarnya juga nasihat musafir tua. Jam pun dah hampir 11.00 malam. Belum sempat aku berkata apa-apa, guruh di langit sudah mula berdentum...
Grummmm.... 
Dan tidak lama kemudian, hujan turut menemani kami. Mujur aku tidak meneruskan niatku sebentar tadi jika tidak pasti aku akan terperangkap di jalanan atau kuyup kebasahan. Kedinginan malam yang ditambah dengan hujan rahmat mula meresap dan menerobos masuk melalui celah-celah dinding kayu rumah musafir tua. 
"Eh, maaf saya bertanya, musafir tua memang selalu lewat tidur ke?" Tanyaku sambil memeluk tubuh yang mula merasai kedinginan. 
"Biasanya waktu ni aku dah tidur. Tapi seronok aku kau datang malam ni. Matapun tak rasa mengantuk. Alhamdulillah, bukan selalu kita boleh bertemu. Kau tunggu jap, aku ambilkan tilam, bantal dan selimut. Macam beku dah aku tengok kau." Jawab musafir tua sambil perlahan-lahan menuju ke bilik. 
Aku mengangguk kepala. Dalam diam aku rasa bersalah pula sebab menganggu rutin musafir tua. 
Selang tak berapa lama kemudian, musafir tua keluar membawa segala perkakasan tidur. Dengan segera aku menyambutnya dan membentangnya di sudut ruang tamu. 
"Kau tau tak apa asas kehidupan ni?" Soal musafir tua tiba-tiba.Aku terdiam sejenak. Fikir. "Hmmm...makanan kut" jawabku menduga."Makanan memang penting tapi asas kehidupan ni adalah kasih sayang. Kita dilahirkan ke dunia hasil kasih sayang ibubapa kita. Allah ciptakan alam ini dengan rahmat dan sifat kasih sayangNya." 
"Dengan kasih sayang lah kita meneruskan kehidupan. Tanpanya, zahir hidup tapi batin mati. Tiada nikmat dari kehidupan yang cuma sebentar ini.""Jadi, kau jangan risau. Kau berehatlah dulu. Aku dan urusanku tidak sesekali terganggu dengan kehadiran kau. Malah adalah tanggungjawabku untuk memastikan tetamuku mendapat haknya." 
Setelah memastikan semua keperluanku tersedia, musafir tua kemudian mohon diri untuk masuk ke biliknya meninggalkan aku terkebil-kebil keseorangan. Ternyata musafir tua dapat membaca isi hatiku sebentar tadi. 
Dan hujan pula turun semakin lebat..... 
Aku menarik selimut hingga ke dada. Desiran hujan yang menimpa atap rumah kalau didengar dengan teliti seakan berirama. Lagu yang memanifestasikan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Dalam keasyikan lagu itu, fikiran ku turut tidak mahu ketinggalan bersimfoni dengan guruh dan hujan mendendangkan lagu alam. Liriknya, adalah kata-kata musafir tua yang masih terngiang-ngiang di telinga. 
"Dengan kasih sayanglah kita meneruskan kehidupan" Aku akui rasa kasih sayang inilah yang menguatkan azam dan semangatku untuk keluar mencari rezeki menyara anak dan isteri. Dengan kasih sayanglah, aku dinasihati dan tidur malam ini di rumah musafir tua. Dan dengan kasih sayanglah, hujan turun malam ini, sebagai rahmat dari Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 
"Kasih sayang itu sifatnya menghidupkan. Ianya menghidupkan jiwa yang mati, ianya juga menghidupkan bunga yang layu dan ianya juga menghidupkan tali persaudaraan sesama kita." Kali ini hati kecilku pula berdialog denganku.Tanpa kasih sayang, tak mungkin ada kehidupan. Bab kata musafir tua,"Tanpanya, zahir hidup tapi batin mati..." 
Aku bersyukur sangat malam ini. Walaupun aku sering terlalai dan lupa dengan amanahku sebagai hambaNya, namun Allah SWT dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Nya masih lagi memberi aku kesempatan untuk bertafakur dan muhasabah diriku. Semoga selepas ini aku diberi kekuatan untuk bermuraqabah dan bermujahadah. Sesungguhnya jalan menuju redhaNya banyak onar dan duri yang menanti. 
Tanpa sedar air mataku turut mengalir, menghujani puncak akal dan lembah nafsu. Memadamkan bara keegoaan dan api amarah yang selama ini sering menemani. Ya Allah ampunilah dosa-dosa dan kesalahanku yang telah lalu. Ya Allah, ingatkanlah aku, sesungguhnya aku sering terlupa. 
Hujan mulai reda, matapun mula terlena... 
Sayup-sayup kedengaran suara azan memecah kesunyian dan kedinginan subuh. Seakan memberi kehangatan kepada jasad yang seketika tadi mati dan memberi kekuatan kepada jiwa yang mencari. 
Aku tersedar. Terasa tidur ku kali ini adalah yang paling lama dan yang paling nyenyak. Di luar sana, suara azan saling bersahutan. Dan dengan kesamaran ku lihat kelibat musafir tua. 
"Haa...baguslah kalau dah jaga. Bersiaplah, jumpa aku lepas solat nanti di mesjid." Serentak, musafir tua membuka suis lampu dan sekaligus menyilaukan pandanganku."Aku pergi dulu". Musafir tua meninggalkan aku yang masih meraba dalam terang. Akalku masih lagi berusaha menyesuaikan dengan perubahan gelap dan terang yang berlaku. 
Selesai solat, musafir tua mengisyaratkan kepada ku untuk pergi ke beranda mesjid. Aku segera ke sana, menanti musafir tua sementara dia menyelesaikan urusannya. Sudah lama aku tak solat subuh berjemaah di mesjid. Rasanya sepanjang hidup aku, tak banyak subuhku di mesjid. Ternyata imanku masih lagi tak sado. Harap muka je hensem. Dalam diam aku mengundang sifat riak di hati. Astagfirullah... 
"Pukul berapa kau masuk kerja nanti?" Soalan musafir tua yang secara mengejut melenyapkan segala mainan perasaan sebentar tadi. 
"Pukul 8.30 pagi musafir tua. Awal lagi ni." Jawabku sambil tersengih-sengih. Sengih kerana ternyata aku agak kekok sedikit solat berjemaah di mesjid. Semoga dengan sengihan tu menyembunyikan perasaan kekok ku daripada musafir tua. 
"Bagusla tu. Tak la kau tergesa-gesa nanti. Sebenarnya, waktu kita kt dunia ni Allah dah bagi jadual yang terbaik. Tapi sayang tak ramai yang ambil peluang. Kalaulah mereka sedar dan tahu akan manfaatnya, orang lumpuh pun akan berusaha untuk solat awal waktu di mesjid." 
Aku diam sambil memikirkan kebenaran kata-kata musafir tua. 
"Segala penciptaan Allah di alam ini tertakluk kepada waktu. Dalam keterbatasan waktu itu, jodoh, rezeki dan maut kita ditentukan. Cukup masa apa yang berlaku pasti akan berlaku tanpa ada perselisihan sedikitpun padanya. Dan sesungguhnya itu adalah rahsia Yang Maha Berkuasa. Kita sebagai hambaNya hanya perlu yakin dan redha dengan Qada' dan Qadar yang telah ditentukan. Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segalanya. Apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk kita" 
"Jadi, bila Allah tetapkan waktu untuk kita solat, kita seakan menolak segala hikmah dan manfaat yang tersedia dengan melewatkan dan mengecilkannya dengan mendahului dan membesarkan urusan dunia. Sedangkan di awal waktu kita diingatkan dengan laungan keramat 'Allahuakbar'. Allah Maha Besar. Ternyata apa yang kita lafazkan tidak seiring dengan apa yang kita amalkan..." 
Kali ini panjang lebar musafir tua memberi penjelasan. Nampak kesungguhannya untuk memberi kefahaman kepadaku yang serba jahil ini. Dan aku diam bukan aku protes tapi aku diam kerana akalku sedang memproses. Memproses segala bahan yang dikongsi agar dapat menjadi bekalan perjalanan hidup ini. 
Pagi itu dalam perjalanan ke pejabat, aku teringat kata-kata akhir musafir tua sebelum aku berpisah dengannya. "Rahsia Allah banyak terkandung dalam solat. Genggam, pelihara dan suburilah ia sebaiknya. Jagalah solat, inshaAllah yang lain akan menjaga kita...." 
Petang itu sebaik sahaja habis waktu pejabat, aku segera bergegas pulang. Cuba mengelak kesesakkan. Dalam fikiran, cuma satu. Ingin solat maghrib berjemaah di mesjid bersama musafir tua. Dan perjalanan petang itu ditemani baur keinsafan dan semangat hijrah yang membara. 
Alhamdulillah, ketika aku tiba di mesjid azan baru sahaja bermula. Setiap bait azan yang berkumandang aku semadikan di dalam hati dengan harapan ianya dapat memberi aku keinsafan dan kekuatan. Di pintu mesjid, musafir tua tersenyum melihat aku. 
"Dalam mengharungi jalan suluk ini, kau akan melihat dan menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Tetaplah di jalanNya. Bukan mudah tapi tidak juga mustahil". Kata-kata musafir tua sedikit sebanyak memberi perangsang kepadaku. Kami duduk bersama di balkoni mesjid selesai solat maghrib. Sementara menanti isya', aku mengambil kesempatan untuk menyuburkan lagi bibit-bibit keinsafan dengan berbual-bual bersama musafir tua. Sessi taklim kata rakanku di pejabat. 
"Ianya akan menjadi berat dan payah kalau hati lebih menyintai dunia tetapi amat ringan dan mudah kalau cinta dan redha Allah yang kita damba". 
Aku mengangguk. Dalam hati aku berdoa agar aku diberi kekuatan dalam beristiqomah untuk menggapai redha Allah. 
"Bimbinglah saya musafir tua. Saya ingin bertaubat dari dosa-dosa saya yang lalu dan membuka lembaran baru. Selama ini jiwa saya liar. Nafsu saya membara. Fikiran saya singkat. Iman saya tipis. Senang sekali tergelincir ke jalan maksiat dan kemungkaran. Saya hidup pada zahir tapi nazak pada batin. Bantulah saya". Dan untuk kesekian kalinya air mataku berlinangan. 
Memahami, musafir tua memegang bahuku. "InshaAllah, sama-sama kita tempuhi. Air mata taubat dan keinsafan ini adalah pintu utama untuk kita bermusafir di jalanNya. Syukur kerana kita masih diberi peluang untuk kembali. Malam ini adalah langkah pertama kita bersama. InshaAllah..." 
Di luar sana suasana tenang dan damai sekali. Baru aku sedar, sudah lama aku tidak merasa sedemikian. 
"Alhamdulillah, terima kasih musafir tua. Hanya Allah yang mampu membalasnya." Dengan genangan air mata, aku lepaskan segala keegoaan. Terasa bebanan yang selama ini membelenggungi hilang tiba-tiba. Hilang bersama air mata dan rasa keinsafan yang mencengkam. 
"InshaAllah, bila cahaya Allah menembusi hati hambaNya, segala yang terbuku dan terbungkam selama ini pasti menjadi terbuka, jelas dan lapang. Segala masalah dilihat sebagai peluang untuk mengejar redha yang Maha Esa." Kata-kata musafir tua seolah-olah dapat membaca isi hatiku. Namun, perkara itu tidak lagi menjadi sesuatu yang baru atau pelik bagiku. Semuanya mustahil dengan izin Allah. 
"Ada orang melewati jalan jauh untuk menggapai redha Ilahi. Menuruni lembah maksiat dan bergelumang dengan lumpur dosa sebelum menemui jalan rahmat dan kasih sayang Allah. Kebanyakkan dari kita memang begitu. Terpesona dengan kilauan dunia sehingga buta tidak nampak jalan ke akhirat." Jelas musafir tua perlahan tapi cukup menusuk ke benakku. 
"Tapi rahmat Allah tidak pernah putus. Kasih sayangNya tak terbanding. Dalam kealpaan, keasyikkan kita dengan dunia dan tipudayanya, masih ada sinar petunjuk yang dikurnia kepada kita untuk kita kembali kepadaNya. Beruntunglah mereka yang terpilih dan kemudian meninggalkan kebathilan menuju yang hak. Dan alangkah ruginya mereka yang terpilih, disinari cahaya Ilahi namun masih lagi menuruti kegelapan nafsu.""Beginilah, sekejap lagi masuk waktu isya'. Kita siap2 dulu. InshaAllah nanti kita sambung di rumah. Itupun kalau kau sudi bertandang." 
Aku mengangguk kelegaan. Lega kerana musafir tua tidak pernah berputus asa memberi aku nasihat dan pedoman. Lega kerana di ketika silauan dunia menyilau pandangan, masih lagi diberi redup harapan oleh Yang Maha Esa. Aku biarkan musafir tua berlalu sementara aku duduk merungkai keinsafan. 
Di sudut masjid itu aku menghitung dosa. Satu persatu hingga aku hilang hitungannya. Aku ulangi. Hingga aku akhiri dengan air mata. Ternyata dosaku seluas lautan. Tak mampu aku rangkum semuanya. 
"Ya Allah, jika hambaMu ini pergi menemui Mu dalam keadaan berlumuran dosa, sesungguhnya aku tak mampu menghadapi azab dan seksa Mu. Berikanlah sedikit palitan kasih sayang Mu agar aku mampu menguatkan diriku berdiri teguh di jalan syariat Mu. Kurniakanlah kekuatan iman dan takwa dalam jiwa yang lemah ini, agar aku dapat mengharungi ujian dunia yang tidak putus-putus". 
Aku ingin redhaMu dan Kau perkuatkanlah keinginan yang hadir dalam hatiku dengan keampunan dan rahmat Mu. Sesungguhnya rahmat Mu maha luas, lebih luas dari himpunan dosa aku dan dosa-dosa penghuni dunia." 
"Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun, kasihanlah kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah." 
Serentak, azan isya' berkumandang. Dan aku bersyukur aku masih diberi kesempatan menyahut seruannya di rumah Allah pada malam yang damai ini. Perjalanan musafir ku masih jauh, namun akan ku gagahi dengan semangat rindu yang membara. Rindu pada kampung halaman yang jauh di mata tapi dekat di jiwa. InshaAllah… 
PERJALANAN MASIH PANJANG





Tuesday, 26 May 2020

GURU, TANPAMU SIAPALAH AKU

Rotan, cincin, pembaris panjang, kapur dan pemadam papan hitam (duster) adalah antara alat-alat yang sinonim dengan guru-guru dalam hidupku. Dengan alat-alat tersebutlah aku dibesarkan dan sedikitpun aku tidak pernah berdendam dengan mereka. Malahan aku amat berterima kasih dan menghormati mereka kerana mendidik aku sehingga menjadi seperti sekarang. Jasa mereka tidak terbalas, hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi keadilan atas usaha mereka mendidikku selama ini. Doaku semoga mereka sentiasa dalam rahmat keampunan dan perlindungan Allah walau di mana mereka berada. Untuk guru-guru yang telah pergi, semoga roh mereka tenang bersama orang-orang yang beriman. Aminn…

Form 1

Antara guru yang paling ku sayang ketika kecil ialah guru mengajiku. Tak lain dan tak bukan arwah datukku, Che Noh bin Deraman. Kerana dialah aku mengenal alif ba ta dan boleh membaca Al-Quran. Dengan rotan di tangan, dia berjaya mendidik aku dan kakakku sehingga khatam. Alhamdulillah. Guru sekolah rendah yang memberi pengaruh besar dalam hidupku pula ialah Teacher
Lita Tan
, guru bahasa inggeris yang berbangsa Tiong Hua. Kerana dia lah aku menjadi minat belajar bahasa inggeris dan sering mendapat markah tertinggi dalam kelas. Komitmen beliau dan kaedah pembelajaran yang kreatif membuatkan kami murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Abal terhibur dan seronok belajar semasa kelas beliau. Sesekali beliau akan memetik gitar kesayangannya mendendangkan lagu bahasa inggeris sambil bernyanyi bersama-sama kami. Kenangan indah yang sehingga ke hari ini melekat dalam kotak ingatanku. Alhamdulillah, beliau akhirnya diberi hidayah dan telah memeluk Islam. Sehingga ke hari ini kami masih berhubung.
Antara cikgu yang paling ku takuti pula ialah Cikgu Aziz dan Cikgu Ibrahim aka Cikgu Him, kedua-dua mereka ialah guru matematik serta Guru Besar sekolah, arwah Cikgu Zakaria. Cikgu Aziz terkenal dengan pembaris panjangnya, manakala Cikgu Him dengan cincin permatanya yang sering meluku di kepalaku. Mungkin sebab tu, ada di antara kami yang bergeliga otaknya sama seperti batu permata Cikgu Him. Arwah Cikgu Zakaria pula pernah menampar pipiku gara-gara tidak hadir bertugas semasa aku jadi pengawas. Sakit dan memalukan bila aku ditampar di hadapan kelas namun tamparan itu membuat aku sedar dan insaf. Selepas kejadian itu aku menjadi pengawas yang bertanggungjawab dan tidak lagi ponteng dari tugas. Semoga rohnya tenang di sana.
Sekolah menengah pula adalah peringkat yang penuh cabaran. Mana tidaknya ketika ini jiwa remaja sedang memberontak. Banyak perkara yang ingin diketahui dan dicuba. Aku bersekolah di empat sekolah sewaktu peringkat menengah. Sekolah Menengah Bukit Jawa, Pasir Putih, Kelantan. Maktab Sultan Abu Bakar (English College), Johor Bahru. Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu dan yang terakhir di Maktab Tentera Diraja (Royal Military College), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Mungkin kerana tempoh yang sekejap di satu-satu sekolah membuatkan ingatanku kurang terhadap guru-guru yang pernah mengajar. Cuma ada satu guru sewaktu di MTD yang paling aku hormati sampai sekarang. Beliau ialah Sir
Allen Jeyarajasingam
, guru berbangsa India yang mengajarku bahasa inggeris semasa Tingkatan 4 dan 5. Ada satu insiden yang tidak dapat kulupakan di mana ketika itu aku ada menulis sesuatu yang tidak baik terhadap beliau. Nak dijadikan cerita, apa yang aku tulis tu kantoi dengan beliau dan aku terpaksa berdiri sepanjang kelas. Masih terbayang-bayang wajah Sir Allen yang marah ketika itu sambil meleteri aku. I am sorry sir, I was young and fool. Namun, aku bersyukur, kerana jasa beliaulah aku mendapat Credit C3 dalam bahasa inggeris semasa peperiksaan SPM. Not that good but not that bad either. Alhamdulillah, beliau juga telah diberi hidayah dan memeluk Islam dan kami masih berhubung sehingga ke hari ini.
Form 4
Sesungguhnya amat besar jasa dan pengorbanan seorang guru. Apatah lagi terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan ibu bapa. Semakin lama tugas seorang guru ini semakin mencabar seiring dengan peredaran masa. Tiada lagi rotan, pembaris panjang, cincin, kapur dan duster buat pelajar-pelajar. Senario pembelajaran telah berubah. Namun bagiku, apapun yang berlaku dahulu memberi banyak pengalaman dan pengajaran yang berguna dan bermanfaat dalam kehidupan. Tiada setitik dendam pun yang tersimpan terhadap guru-guru yang pernah memberi hukuman. Malahan aku berterima kasih, kerana hukuman-hukuman itulah yang membentuk dan mendidikku, memberi kesan yang positif dan membina dalam kehidupan mendatang. Terima kasih guru-guruku dan semua yang bergelar guru. Tanpamu siapalah aku…
SELAMAT HARI GURU – BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BARU!

HIKING MINDA - Welcome To Other Side of The World!

Buku-buku yang mengelilingi ibarat tembok utuh yang menjadikan aku merasa selamat dan selesa. Bukan semuanya habis ku baca namun keberadaan buku-buku tersebut memberi ku kekuatan dan semangat. Seolah-olah ada guru yang boleh ku buat rujukan sekiranya keadaan memerlukan. Semoga ilmu yang terkandung di dalamnya akan dapat memberi manfaat dalam kehidupan. InshaAllah…

Membaca Amalan Mulia

Dahulunya aku bukanlah seorang yang gemar pada buku. Apatah lagi setiap baris perkataan yang ada cukup sudah untuk membuatku merasa mengantuk. 5 minit membaca dan aku kemudiannya akan nyenyak dilamun mimpi. Membaca bagiku adalah kerana terpaksa ataupun kerana untuk lulus periksa tak lebih dari itu. Jauh sekali untuk dijadikan minat ataupun dijadikan koleksi. Kecanggihan teknologi seperti Satelit TV dan DVD waktu itu mendorong aku untuk lebih menonton berbanding membaca.

Pada tahun 1998, semasa aku bekerja di Ladang Telok Sengat, antara tugas yang diamanahkan padaku adalah untuk menubuhkan Mini Library di Club House untuk dijadikan bahan bacaan kepada staff-staff ladang dan keluarga mereka ketika itu. Satu bilik khas diperuntukkan untuk aku bagi mengisinya dengan apa sahaja bahan bacaan yang bermanfaat. Maka bermulalah misi aku ketika itu dengan memohon sumbangan dari semua warga ladang apa sahaja bahan bacaan yang sesuai untuk aku jadikan koleksi di Mini Library Telok Sengat Clubhouse. Alhamdulillah, aku menerima respons yang menggalakkan dan akhirnya aku dapat mengumpul bahan-bahan bacaan dalam bentuk buku, majalah dan laporan-laporan tahunan. Macam-macam bahasa ada, ada melayu, cina, tamil dan inggeris. Cukuplah untuk dijadikan koleksi menarik di Mini Library kami.

Antara buku yang menarik perhatian aku ketika itu dan seterusnya mempengaruhi langkah-langkah dalam kehidupanku ke depan ialah ‘Follow Your Heart’ tulisan penulis motivasi terkenal Australia, Andrew Matthews. Buku tersebut ditulis dalam bahasa yang mudah, lucu dan bersahaja tetapi mengandungi maksud yang amat mendalam. Ianya disulami dengan kata-kata mutiara yang dihias bersama lukisan karikatur penulis sendiri. Dari sinilah minat membaca aku mulai berkembang. Setiap bulan pasti ada sekurang-kurangnya 1 buku yang aku beli untuk dijadikan koleksi.

Sehingga hari ini ada terdapat 513 buku dalam daftar koleksi peribadiku termasuk sebahagian darinya yang musnah semasa banjir besar di Kelantan pada tahun 2014. Ada sebahagian kecil masih dalam simpanan kawan-kawan yang meminjamnya. Jadi, bilangan sebenar buku yang ada dalam rak rumahku sekarang ialah 200 naskah (and counting) termasuk 2 kitab Al-Quran.

Buku bagiku adalah seperti madu, ianya manis, berkhasiat dan bermanfaat tapi tak semua yang mengamalkan untuk meminumnya. Bagi yang selalu membacanya pasti akan merasa seperti tidak lengkap jika hari-hari yang dilalui tidak disertai dengan buku. Ianya bagaikan ‘supplement’ yang melengkapkan aktiviti harian. Terdapat terlalu banyak manfaat daripada amalan membaca ini sebenarnya, jika tidak, masakan wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah seruan untuk membaca, Iqra’! Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.” (Al-‘Alaq ayat 1-5). Ini secara tak langsung menunjukkan kepada kita akan kepentingan untuk membaca dan menuntut ilmu sehingga ayat ini dipilih sebagai wahyu pertama yang diturunkan. Dan berapa ramai daripada kita yang menjadikannya sebagai amalan?

Justeru itu marilah kita sama-sama jadikan membaca sebagai amalan harian kita. Manfaatnya sangat banyak, boleh tanya pakcik Google. Antara apa yang menarik tentang membaca ini ialah bagaimana ia mengaktifkan sel-sel neuron dan membentuk rangkaian-rangkaian baru (a new highway) dalam otak kita. Ini secara langsung akan menjadikan kita lebih berfikiran terbuka, kreatif, berimaginasi tinggi, empati, serta dapat mengelakkan risiko penyakit Alzheimer, Amnesia, nyanyuk dan macam-macam lagi. Membaca adalah senaman yang baik pada otak sebagaimana mengangkat besi senaman yang baik untuk membina otot. Semasa membaca juga otak kita menjadi sangat aktif berbanding menonton tv yang bersifat pasif.

Bagiku membaca dapat membawaku ke suatu dunia yang unik dan berlainan. Ianya tergantung kepada daya imaginasi dan empati yang ada pada setiap individu. 1 cerita yang sama mungkin akan berbeza bagi setiap individu yang membacanya. Ini tergantung kepada ilmu, persepsi, pengaruh dan kefahaman setiap individu itu sendiri. Apa-apapun ianya pasti memberi manfaat kepada si pembaca tersebut. Senang cerita, buku adalah medan ‘hiking’ bagi otak. Dengan membaca, otak kita sedang meneroka suatu alam yang selama ini belum lagi pernah kita terokai. Ada cinta, ada suspens, ada magik, ada pengajaran, ada ilmu, ada rahsia, ada misteri yang sedang menanti. Jom membaca!

“YOU DON’T HAVE TO BURN BOOKS TO DESTROY A CULTURE. JUST GET PEOPLE TO STOP READING THEM.” – Ray Bradbury




Thursday, 21 May 2020

'KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA KASIH AYAH SEPANJANG MASA' - MONOLOG DI PUSARA

“Mak, ayah pergi mana mak…kenapa dia tak balik-balik lagi…” Suara kecil tu bagaikan menyiat hati Leha. Berat untuk dia menerangkan kepada anaknya yang berusia 3 tahun itu bahawa ayahnya takkan kembali lagi. Apalah sangat yang difahami oleh anak sekecil itu tentang kematian. Bagi dia, ayahnya mesti kembali seperti kebiasaan yang sebelum-sebelum ini. Kembali dengan jajan dan mainan yang dibawa untuknya. Dia kemudian akan mencium pipi ayahnya sambil berkata, “Terima kasih ayah.” Dan ayah pasti akan memeluk dan mendukungnya sambil dicium-cium pula kedua-dua pipi halus dan gebu itu. Dia pasti akan ketawa kegelian kerana janggut ayahnya yang menggesel-gesel di pipinya sehingga keluar air mata. Telatah itulah sekarang yang dirindui oleh dia dan juga Leha.

Kini sudah 2 minggu ayah tak kembali. Perasaan anak kecil itu menjadi rindu. Rindu pada suara, ciuman, janggut dan bau si ayah. Dia tertanya-tanya dalam hatinya kenapa ayah sanggup meninggalkan dia dan ibu. Bukankah ayah selalunya akan pulang. Kali ini dia tak perlukan jajan atau mainan, cukuplah ayah yang pulang. Cukuplah ayah mendakapnya walau sekejap. Dia faham ayah sibuk. Ayah perlu mencari duit untuk dia dan ibu. Dia berjanji dia tidak akan lagi menyepah-nyepahkan mainannya atau membazir makanan atau menconteng dinding. Dia akan rajin mengaji al-quran, menghafal abc dan menghabiskan mewarna gambar-gambar haiwan dalam buku yang ayah bagi tempohari. Yang penting ayah kembali…

Airmata Mirul berlinang di pagi raya itu. Sudah 30 tahun ayah pergi meninggalkan dia dan ibu. Sudah lama  juga dia memahami kenapa ayah pergi tak kembali. Dia menerima takdir dan ketentuan dari Ilahi. Walaupun dia dan ibu menyayangi Ayah ternyata Allah lebih menyayangi Ayah. Ayah dijemput pulang lebih awal. Setiap kali tiba hari raya, Mirul akan membawa anak, isteri dan ibu menziarah pusara ayah. Itulah perkara pertama yang dilakukan setiap kali selesai solat sunat hari raya di masjid. Pusara ayah di jaga rapi dan sentiasa bersih seperti ayah yang sentiasa sukakan kekemasan dan kebersihan. Hanya itu yang dapat dilakukan Mirul bagi membalas jasa Ayah dulu selain dari doa dan bacaan ayat suci al-quran yang disedekahkan. Walaupun ayah meninggalkan dia sewaktu berusia 3 tahun, namun kasih sayang, senyum tawa Ayah tetap segar dalam ingatan. Seolah-olah baru semalam ayah pergi meninggalkan dia dan ibu.

“Ayah, walaupun kita tidak lama bersama namun ketahuilah, anakmu ini sentiasa merinduimu. Dengan kerinduan itulah, anakmu ini menghadapi kehidupan seterusnya dengan semangat dan azam untuk membantu ibu yang keseorangan. Walaupun adakalanya diejek kawan-kawan, namun ibu selalu memberitahu bahawa Nabi Muhammad juga dibesarkan tanpa ayah. Mendengar itu aku menjadi kuat. Ibu pula memang seorang yang tabah, dia tak pernah berputus asa mencari nafkah untuk kami dengan menjual nasi di warung. Kuat dugaan ibu, namun apapun yang berlaku ibu selalu berpesan yang Ayah dulu tak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha. Ibu kata, Ayah selalu bagitau yang Allah sentiasa bersama kita. Minta saja pertolongan denganNya, inshaAllah semuanya akan menjadi mudah. Kerana itulah aku selalu memohon pada Allah setiap masa”.

“Ayah, jika dulu aku sangat marah dengan Allah kerana mengambilmu, tapi ibu selalu bagitahu bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, sebab itulah ayah diambil. Ibu bagitau tiada tempat yang lebih indah dan lebih baik selain disisi Allah. Mendengar kata ibu, aku merasa gembira kerana Ayah berada di tempat yang terindah dan terbaik. Aku bersyukur kerana Allah mengambil ayah. Walaupun ayah tidak bersama kami, tapi aku tahu Allah sentiasa bersama kita semua.”

“Ayah, membesar tanpamu menjadikan aku lebih berdikari dan bercita-cita tinggi untuk membantu ibu yang penat lelah berjual di warung. Saat kawan-kawan lain bercuti bersama ayah dan ibu mereka di kawasan peranginan, aku senang sekali dapat membantu ibu berjual di warung. Sesekali aku akan mengelilingi kampung menjaja kuih-muih buatan ibu. Orang kampung cakap kuih ibu sedap tapi bagi aku semua masakan ibu sedap. Walaupun hanya telur goreng, aku merasa amat berselera dan puas. Cikgu matematik di sekolah cakap aku pintar. Mungkin kerana selalu berjualan, aku menjadi minat dan cekap dengan ilmu kira-kira. Saat pelajar lain sedang bertungkus lumus menyelesaikan soalan aku dengan pantas dapat memberikan jawapan. Sehinggakan aku muncul juara kuiz matematik peringkat kebangsaan 3 tahun berturut-turut. Ayah, walaupun kau tiada, namamu sering diumumkan sebagai juara. Amirul Hakim bin Abdul Aziz. Orang-orang kampung banyak yang berkata, bertuah anak arwah si Aziz. Walaupun bukan namaku yang disebut tapi aku merasa amat bangga kerana nama ayah tetap hidup.”

“Ayah, mungkin kerana sering membantu ibu berjualan, menjadikan aku lebih minat dan cenderung untuk meniaga. Semasa di universiti saat teman-teman kampusku menelefon ayah mereka untuk memasukkan duit belanja, aku pula menelefon ibu untuk mengirimnya wang belanja. Ibu enggan menerima wang tersebut tapi tetap aku kirimkan. Aku tahu ibu amat risaukan aku, tapi wang hasil jualan mee segera di kampus, t-shirt, perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung dan perkhidmatan kereta sewa sudah dapat menampung semuanya. Teman-temanku memanggilku Tokan, nama timangan di kampus. Namun Ayah jangan berkecil hati, nama Amirul Hakim bin Abdul Aziz tetap dikenali di kalangan pensyarah apatah lagi saat aku menerima Anugerah Dekan. Alhamdulillah…”

“Ayah, kini diusiaku yang ke 33, banyak sudah pahit manis yang kulalui dalam kehidupan. Bukan senang membesar tanpamu di sisi tapi ibu banyak membantu. Pengorbanannya amat besar dan aku tahu kalau Ayah masih hidup ayah juga akan lakukan perkara yang sama. Ibu cakap dia kuat kerana dulu Ayah banyak memberinya nasihat dan kata-kata semangat. Dengan warisan ilmu dan semangat ayah itulah yang banyak memberinya kekuatan dalam membesar aku. Ibu cakap aku pun mewarisi semangat yang sama. Semangat itulah yang mengalir dalam darah dan jiwaku sehingga menjadikan aku seperti sekarang. Ayah, aku kini telah berkahwin dengan wanita pilihanku. Dia adalah gadis berbangsa Inggeris yang aku kenali sewaktu melanjutkan pelajaran di University of Cambridge di United Kingdom dahulu. Ayahnya juga telah pergi meninggalkan dia sewaktu kecil. Kami memiliki banyak kesamaan lebih-lebih lagi dalam perjalanan hidup yang telah kami lalui. Ibu pada mulanya agak keberatan namun apabila dia memberitahu yang dia mau belajar mengaji dengan ibu, hati ibu menjadi lembut. Alhamdulillah kini dia amat serasi dan rapat dengan ibu. Nama Islamnya Sophia tapi Ibu memanggilnya Mek…lebih kemelayuan ibu cakap.”

“Ayah, aku kini sedang mengusahakan Yayasan Anak Yatim. Keputusan itu dibuat kami berdua bagi membela nasib anak-anak yatim dan anak-anak gelandangan yang terbiar. Yayasan itu kami namakan bersempena nama anak lelaki kami, cucu Ayah. Kami namakannya Abdul Aziz Childcare Foundation. Iya, kami namakan cucu ayah itu dengan nama Ayah. Harapan kami semoga legasi ayah dapat diteruskan. Walaupun ayah hadir sebentar sahaja dalam hidupku, namun percayalah semangat dan legasi ayah tetap mengalir dalam darah dan jiwa kami. Nama ayah tetap akan aku junjung dan harumkan. InshaAllah.”


*  Untuk ayahanda dan bonda tercinta, Hj Abd Rahman bin Hj KS Mohammad, Hjh Ruhana binti Mohamad dan anak-anakku, Edzzhar Edham, Einnurniesa Umaera, Emirul Fardlee, Eurliena Maesara dan Eisha Umayya.


ONE MAN'S MISFORTUNE IS ANOTHER MAN'S OPPORTUNITY

Sedar tak sedar dah 22 hari kita berpuasa. Tak lama lagi Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Cepat sungguh masa berlalu lebih-lebih lagi di era Covid-19 ni. Semoga Ramadhan yang bakal pergi akan memberi kita hikmah dan keberkatan dalam kehidupan kita yang rapuh dan sementara ini. Sekurang-kurangnya menjadi bekalan untuk kehidupan yang sebenar di akhirat nanti. InshaAllah, mudah-mudahan…

Alhamdulillah, malam semalam selepas solat terawih aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan musafir tua. Sudah agak lama kami tidak bersua apatah lagi dalam keadaan PKP yang menyelubungi. Syukur, musafir tua masih lagi diberi kesihatan dan kekuatan dalam mengharungi sisa-sisa kehidupan yang tak pernah luntur dari ujian. Seperti biasa, riak wajah musafir tua tetap tenang dan menenangkan. Memberi kedamaian pada hati yang memandang. Tutur katanya tersusun kemas, jelas dan penuh maksud. Tersurat dan tersirat. Setiap bait kata yang terkeluar pasti memberi kesedaran dan keinsafan. Kalau bersamanya aku lebih banyak berdiam. Mendengar dan cuba memahami apa yang disampaikan. Suaranya sahaja seakan terapi jiwa bagiku.

“Baik dan buruk itu adalah satu”, musafir tua membuka ruang bicara. Aku mengangguk. Menanti ayat-ayat seterusnya. “Semua yang terjadi adalah dengan kehendak dan keizinanNya. Dia tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pasti ada hikmah bersama. Kalau kau sakit dan bersabar dengannya, itu adalah cara Allah memberi keampunan dan menaikkan darjat kau. Dengan kesakitan itu kau pergi bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Kesakitan kau itu pula menjadi sumber pendapatan bagi doktor tersebut dan peluang untuk dia bermuhasabah dan merenung apa yang berlaku untuk hikmah dirinya sendiri. Keburukan bagi kita boleh menjadi kebaikan bagi orang lain dan begitu juga sebaliknya. Yang tetap sama adalah hikmah dan ibrah dari apa yang berlaku.”

“Dan apa yang kau fikirkan baik sekarang boleh jadi akan menjadi buruk di hari kemudian dan begitu juga sebaliknya. Kerana baik dan buruk itu adalah satu dan tidak dapat dipisahkan. Ianya hanyalah perspektif akal kita yang terbatas pada ruang dan waktu. Sedangkan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya…” musafir tua diam sejenak sambil tersenyum. Mungkin memberi kesempatan padaku menggarap apa yang ingin disampaikannya. Aku tersenyum dan mengangguk-angguk kepalaku menandakan yang aku faham apa yang telah disampaikan.
“Kau pernah cerita padaku dulu yang kau pernah kehilangan pekerjaan bukan? Kau rasa kecewa sangat waktu tu sehinggakan kau jadi tak tentu arah dan kemurungan. Dunia menjadi gelap dan semuanya seperti tidak menyebelahimu sehinggakan hubungan kau dan isteri juga turut terjejas. Ianya adalah perkara terburuk pernah berlaku dalam hidupmu. Cuba kau lihat perkara itu dari perspektif masa sekarang. Ternyata peristiwa buruk itu memberi kau peluang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minatmu bukan. Malah kau rasa bersyukur dengan apa yang telah berlaku, tanpa peristiwa buruk tersebut mungkin kau masih lagi terkapai-kapai dengan perasaan tidak puas hati dan mencari-cari kepuasan diri. Apa yang dulunya buruk bagimu rupa-rupanya adalah kebaikan pada masa sekarang. Dan perlu kau ingat, kebaikan yang ada sekarang mungkin adalah keburukan untuk masa-masa akan datang. Kita tak tahu. Itu adalah kekuasaan dan kebijaksaan Sang Pencipta. Namun apa yang perlu kita fahami, apapun yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Sebab itulah baik atau buruk itu adalah satu garisan yang lurus. Yang penting hikmah dan ibrah dari apa yang berlaku”

Aku mengangguk-angguk kepala sambil cuba mendalami maksud yang disampaikan. Benar kata musafir tua, baik dan buruk itu hanyalah perspektif akal manusia yang terbatas. “Baik dan buruk itu seperti sebatang pokok. Ianya satu dan berasal dari akar yakni sumber yang sama. Dan dari batang tersebut akan terbitnya dahan, daun, bunga dan buahan-buahan. Dahan menjadi tempat burung-burung bertenggek dan bersarang, daun menjadi tempat berteduh, bunga menjadi sumber madu dan hiasan manakala buah-buahan menjadi makanan yang manis dan berkhasiat. Dahan, daun, bunga dan buah-buahan itulah hikmah dan ibrah yang memberi manfaat kepada kita semua.” Musafir tua tersenyum lagi sambil menanti tindakbalas dariku. Aku senyum kembali sambil mengangguk-angguk kepala lagi. Aku tidak mau mencelah, biarlah musafir tua terus berbicara. Aku hanya mau mendengar dan mengambil ilmu yang disampaikan.
Musafir tua mengakhiri bicaranya sambil kami berdua menghirup kopi yang terhidang. Alhamdulillah malam itu aku dapat menikmati kopi yang enak, ilmu yang bermanfaat serta ukhuwah yang hebat. Banyak nikmat yang dikurniakan dalam satu malam. Walaupun sebentar namun ianya memberi inspirasi dan semangat untuk aku mengharungi hari-hari seterusnya yang tak lekang dengan ujian dan cabaran. InshaAllah, Allah permudahkan…
“Jadi apa yang berlaku dengan dunia kita sekarang, PKP, Covid-19, kemelesetan ekonomi, hilang sumber pendapatan dan sebagainya adalah sesuatu yang perlu kita lihat dari konsep hikmah dan ibrah tadi. Sesuatu keburukan pasti ada kebaikan bersamanya. Tugas kita dan apa yang perlu kita lakukan hanyalah mencari kebaikan tersebut. Lihat dari sudut yang opitimis dan positif, husnudzon bersangka baiklah dengan Allah SWT. DIA tidak pernah berlaku zalim sebaliknya kita lah yang sering menzalimi diri kita sendiri dengan kejahilan dan kemungkaran. Yakinlah, pasti akan ada kesudahan yang baik untuk orang-orang yang selalu berfikir dan mengambil iktibar. Sabar, redha dan bermuhasabahlah selalu dengan apa yang berlaku. Mohonlah keampunan, petunjuk dan kekuatan dari Allah Azza Wa Jalla. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengampuni. Wallahua’lam…”


KISAH MAKCIK ALPHARD DAN AKAK PENJUAL KUIH